AS bantah cadangan bina semula Gaza

AS bantah cadangan bina semula Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: White House menolak cadangan yang dikemukakan dalam sidang kemuncak pemimpin Arab bagi membina semula Gaza, dengan alasan cadangan itu tidak mengambil kira keadaan semasa di wilayah bergolak tersebut.

“Cadangan semasa tidak mengambil kira hakikat bahawa Gaza kini tidak boleh didiami dan penduduk tidak dapat hidup dengan selesa di wilayah yang dipenuhi runtuhan dan bahan letupan yang tidak meletup,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, Brian Hughes dalam kenyataan emel kepada agensi berita Anadolu.

Tambah beliau, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tetap berpegang kepada visinya untuk membina semula Gaza tanpa kehadiran Hamas.

Pada sidang kemuncak tergempar Liga Arab di Kaherah semalam, Mesir mengemukakan pelan pembinaan semula Gaza bernilai AS$53 bilion (RM235 bilion) tanpa memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka.

Sidang tersebut turut memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa perundangan Arab bagi mengkaji kemungkinan mengklasifikasikan pemindahan rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada jenayah genosid.

Selain itu, mereka menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman antarabangsa ke Tebing Barat dan Gaza bagi menyokong usaha politik untuk menubuhkan negara Palestin yang merdeka.

Cadangan negara-negara Arab ini dikemukakan selepas Trump melancarkan pelan kontroversinya untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin bagi membangunkannya sebagai ‘Riviera Asia Barat’.

Bagaimanapun, pelan Trump itu mendapat tentangan hebat dari dunia Arab dan kebanyakan negara lain yang menganggapnya sebagai satu bentuk pembersihan etnik.

Sejak serangan ganas Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, hampir 48,400 rakyat Palestin terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 111,000 lagi cedera.

Serangan yang telah menghancurkan sebahagian besar wilayah Gaza itu dihentikan sementara susulan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.

Namun, Israel bertindak menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Ahad selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu enggan memulakan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata antara Tel Aviv dan Hamas. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×