KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin bagi membincangkan usaha politik dan diplomatik untuk menamatkan konflik di Ukraine.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kyiv selepas bertemu Presiden Bank Eropah untuk Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD), Odile Renaud-Basso, Zelenskyy menuduh Putin takut untuk berbincang dengannya mengenai pengakhiran perang.
“Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) percaya bahawa diplomasi adalah mustahil tanpa Russia, tanpa Putin.
“Itulah sebabnya saya berkata bahawa saya bersedia untuk bertemu dengannya jika kita boleh bersetuju mengenai bagaimana perang ini akan berakhir. Kami bersedia untuk diplomasi, saya tiada masalah mengenainya. Masalahnya ialah saya rasa Putin sebenarnya takut untuk berbincang dengan saya tentang usaha menamatkan perang,” dakwanya.
Mengenai dekri Ukraine yang melarang sebarang rundingan damai dengan Russia selagi Putin masih menjadi Presiden yang ditandatangani pada tahun 2022, Zelenskyy mendakwa larangan tersebut tidak lagi terpakai.
Beliau juga memaklumkan Kyiv sedang merancang untuk mengadakan hubungan rasmi dengan Washington, termasuk mengenai pelan damai.
Sementara itu, Ukraine turut menyatakan kesediaannya untuk membuka koridor kemanusiaan bagi membolehkan ratusan rakyat Russia yang tinggal di kawasan sempadan dikuasai tenteranya kembali ke wilayah di bawah kawalan Moscow jika permintaan rasmi dibuat.
Lebih 1,500 orang awam masih berada di kawasan barat wilayah Kursk di Russia yang telah dikuasai oleh tentera Ukraine dalam satu serangan mengejut merentasi sempadan pada Ogos lalu.
“Kami bersedia untuk membuka koridor kemanusiaan dari wilayah Kursk ke wilayah lebih dalam di Russia sebagai tindak balas terhadap permintaan rasmi Persekutuan Russia.
“Tetapi nampaknya, Russia tidak mahu koridor kemanusiaan seperti itu kerana kami belum menerima permintaan yang sepadan daripada mereka. Moscow seakan tidak peduli terhadap nasib rakyatnya sendiri,” kata pejabat Zelensky dalam satu kenyataan kepada AFP.










