Zelensky sedia berundur demi keamanan Ukraine

Zelensky sedia berundur demi keamanan Ukraine

VOLODYMYR ZELENSKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bersedia melepaskan jawatan sebagai pertukaran kepada keamanan negara dan keahlian dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Zelensky membuat tawaran itu dalam sidang media di Kyiv kelmarin, menjelang ulang tahun ketiga pencerobohan Russia di Ukraine.

“Jika ia menjamin keamanan untuk Ukraine, jika anda benar-benar memerlukan saya meletakkan jawatan, saya bersedia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya boleh menukarnya dengan keahlian NATO, jika itu syaratnya,” kata Zelensky.

Kenyataan itu dibuat di tengah ketegangan antara dirinya dan kerajaan baharu Amerika Syarikat (AS) yang dipimpin Presiden, Donald Trump.

Trump dilihat tidak berpihak kepada Ukraine berbanding pendahulunya, Joe Biden, apabila semakin lantang menyerang Zelensky sejak memegang jawatan bulan lalu.

Presiden AS itu menggelar Zelensky sebagai ‘diktator tanpa pilihan raya’ sehingga menyebabkan kedua-dua pemimpin saling berperang mulut.

Dalam sidang akhbar sama, pemimpin Ukraine itu turut menegaskan, pendekatannya dengan pentadbiran Trump adalah pragmatik.

“Saya memberi tumpuan kepada keselamatan Ukraine hari ini, bukan dalam tempoh 20 tahun, saya tidak akan berkuasa selama beberapa dekad,” katanya.

Menurut undang-undang Ukraine, pilihan raya digantung di bawah undang-undang tentera, yang dilaksanakan sejak pencerobohan berskala penuh Russia pada Februari 2022.

Zelensky akan bertemu pemimpin Barat, sebahagian secara bersemuka di Kyiv dan beberapa lagi menerusi dalam talian, untuk membincangkan jaminan keselamatan pasca perang di saat AS tidak lagi memainkan peranan utama.

Beliau berkata, penyertaan Ukraine dalam NATO akan menjadi agenda dalam mesyuarat itu, tetapi tidak jelas bagaimana perbincangan akan berakhir.

Sebelum ini, Zelensky mendakwa tentera negaranya perlu meningkat dua kali ganda sekiranya NATO menolak permohonan Ukraine untuk menyertai pakatan itu.

Awal bulan ini, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, penyertaan Kyiv dalam NATO adalah sesuatu yang tidak realistik.

PERJANJIAN DEPOSIT MINERAL

Utusan khas Trump, Steve Witkoff dan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent menjangkakan perjanjian mengenai akses AS kepada deposit mineral kritikal Ukraine akan ditandatangani minggu ini.

Sebelum ini, Zelensky dilaporkan teragak-agak dengan perjanjian itu seminggu lalu, merujuk kepada penolakan awal pemimpin Ukraine terhadap cadangan asal AS, kata Witkoff dalam wawancara CNN, State of the Union.

“Presiden Trump menghantar mesej kepadanya. Dia tidak lagi teragak-agak,” kata Witkoff.

Beliau berkata, Zelensky menyedari bahawa AS banyak berperanan di Ukraine, maka semua pihak akan menyaksikan perjanjian tersebut ditandatangani minggu ini.

Zelensky sebelum ini menolak tuntutan AS untuk AS$500 bilion (RM2.1 trilion) dalam kekayaan mineral Ukraine sebagai bayaran balik kepada bantuan perang Washington, dengan menegaskan jumlah itu tidak setimpal dengan sokongan diberikan.

Beliau juga mendakwa dana yang diterima adalah dalam bentuk geran dan bukannya pinjaman yang perlu dibayar balik.

Sabtu lalu, Trump turut menegaskan sedang berusaha mendapatkan kembali wang berbilion dolar yang dihantar untuk menyokong perang Ukraine menentang Russia.

“Saya mahu mereka berikan sesuatu sebagai balasan untuk semua wang yang sudah kita laburkan. Kita meminta nadir bumi dan minyak, apa sahaja yang boleh kita dapatkan.

“Kita akan mendapatkan kembali wang kita kerana tidak adil. Kita lihat bagaimana nanti, tetapi saya rasa ia sudah hampir mencapai perjanjian,” kata Trump ketika berucap di Persidangan Tindakan Politik Konservatif (CPAC) berhampiran Washington.

Kenyataan itu dibuat ketika Washington dan Kyiv sedang merundingkan perjanjian sumber mineral sebagai pampasan terhadap bantuan perang diberikan oleh Biden sebelum ini.

Ia merupakan satu lagi perubahan besar dalam dasar luar AS pada bulan pertama Trump kembali berkuasa, sehingga menggoyahkan hubungan diplomatik dengan mendekati Kremlin tanpa melibatkan Ukraine serta sekutu Eropah.

Bagaimanapun, beberapa jam sebelum itu, sumber memberitahu AFP bahawa Zelensky tidak bersedia untuk menandatangani perjanjian, walaupun tekanan AS semakin meningkat.- AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN