Wabak Mpox kekal darurat kesihatan awam

Wabak Mpox kekal darurat kesihatan awam

SEORANG wanita mendukung bayinya yang menderita wabak Mpox di hospital Kavumu di timur Republik Demokratik Congo.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memutuskan virus Mpox kekal sebagai kecemasan kesihatan awam di peringkat antarabangsa selepas mendapati wabak itu masih memerlukan tahap amaran tertinggi, dengan kes terus meningkat dan penyebaran semakin meluas.

Menurut kenyataan WHO, peningkatan kes Mpox masih memenuhi kriteria sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa (PHEIC).

Jawatankuasa Kecemasan mengenai Mpox mengadakan mesyuarat untuk kali ketiga pada Selasa dan menasihati Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, situasi itu masih merupakan PHEIC.

“Keputusan tersebut diambil berdasarkan peningkatan kes yang berterusan dan penyebaran meluas, kekacauan di timur Republik Demokratik Congo yang menghalang usaha mengekang, serta kekurangan dana untuk melaksanakan pelan tindak balas,” menurut kenyataan ringkas itu.

Tedros bersetuju dengan nasihat jawatankuasa tersebut dan melanjutkan PHEIC yang pertama kali diumumkan pada 14 Ogos tahun lalu.

PHEIC adalah tahap amaran tertinggi di bawah Peraturan Kesihatan Antarabangsa yang mengikat 196 negara secara sah.

Ketua agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengisytiharkan kecemasan tersebut berikutan penyebaran meluas penyakit yang sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet di Afrika, terutamanya Congo.

Mpox disebabkan virus daripada keluarga sama dengan virus cacar yang boleh menjangkiti manusia melalui haiwan yang dijangkiti, tetapi juga boleh merebak antara manusia melalui kontak rapat fizikal.

Penyakit itu pertama kali dikesan dalam kalangan manusia pada tahun 1970 di Congo, yang ketika itu dikenali sebagai Zaire, menyebabkan demam, sakit otot dan lesi kulit berbentuk bisul besar, selain boleh membawa maut.

Terdapat dua jenis virus ini iaitu klad 1 dan klad 2.

Virus yang sudah lama menjadi endemik di Afrika Tengah mula mendapat perhatian antarabangsa pada Mei 2022 apabila klad 2 merebak ke seluruh dunia, kebanyakannya memberi kesan kepada lelaki gay dan biseksual.

Sejak itu, hampir 128,000 kes Mpox disahkan di makmal di 130 negara termasuk 281 kematian, menurut data WHO.

WHO telah mengisytiharkan kecemasan kesihatan global pada Julai 2022, tetapi usaha vaksinasi dan kempen kesedaran membantu mengawal penyebaran, menyebabkannya ditarik balik pada Mei 2023.

Namun, hanya setahun kemudian satu lagi wabak dua cabang tercetus terutamanya di Congo, dengan kedua-dua strain asal klad 1a dan strain baru, klad 1b.

Ini mendorong WHO untuk mengisytiharkan kecemasan baharu pada Ogos lalu.

Setakat ini, penyebaran komuniti bagi strain klad 1b disahkan di Congo dan lima negara Afrika lain serta dikesan di 15 negara lagi di seluruh dunia berkaitan dengan perjalanan, menurut data WHO.

Congo telah mengesahkan lebih 13,000 kes Mpox dan 43 kematian pada 2024, dan negara itu telah mengesahkan lebih 2,000 kes dalam lima minggu pertama tahun ini, lebih separuh daripada kes yang disahkan secara global. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×