WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kemungkinan melanjutkan penangguhan selama 75 hari terhadap undang-undang larangan TikTok.
Dalam satu sidang media di Pejabat Oval semalam, Trump menyatakan keyakinan untuk mencapai persetujuan bagi penjualan aplikasi yang dimiliki syarikat China itu kepada sebuah syarikat AS dan mendapatkan kelulusan daripada syarikat induknya, ByteDance serta kerajaan China.
Setelah memegang jawatan pada 20 Januari lalu, Trump menandatangani arahan eksekutif untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang tersebut selama 75 hari.
Apabila ditanya sama ada tarikh akhir itu semakin hampir, Trump menjawab: “Saya mempunyai masa 90 hari bermula dua minggu lalu, dan saya pasti ia boleh dipanjangkan.”
“Tetapi mari kita lihat. Saya rasa ia tidak akan diperlukan.Ia akan memberi keuntungan kepada China jika perjanjian ini berjaya,” katanya lagi.
TikTok mendapat perhatian di AS berikutan kebimbangan keselamatan negara, dengan undang-undang yang mengarahkan ByteDance untuk melepaskan kepentingannya dalam aplikasi tersebut atau berdepan dengan larangan.
Dalam pada itu, Apple dan Google turut mengumumkan TikTok kini boleh dimuat turun semula di kedai aplikasi mereka di AS.
Aplikasi perkongsian video pendek itu telah dikeluarkan dari kedua-dua kedai aplikasi pada 18 Januari lalu, beberapa jam sebelum larangan dijangka berkuat kuasa.
Aplikasi tersebut kekal tidak tersedia untuk dimuat turun di App Store Apple dan Google Play sehingga Khamis, walaupun pengguna yang memuat turunnya masih boleh menggunakannya.
Presiden Trump sebelum ini menyatakan bahawa terdapat ‘minat yang besar’ terhadap TikTok ketika pentadbirannya berusaha untuk mengatur perjanjian membeli aplikasi itu.
“Minat besar terhadap TikTok! Ia akan menjadi sesuatu yang hebat untuk China, dan semua yang terlibat,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
Sebelum ini, beliau juga menyatakan bahawa banyak pihak akan membida untuk memiliki TikTok.- ANADOLU










