Taliban tutup stesen radio wanita, perketat kawalan media di Afghanistan

Taliban tutup stesen radio wanita, perketat kawalan media di Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Taliban bertindak menggantung operasi satu-satunya stesen radio wanita di Afghanistan selepas menyerbu premisnya, sekali gus memperhebat sekatan terhadap peranan wanita dalam masyarakat sejak kumpulan itu mengambil alih kuasa pada 2021.

Stesen Radio Begum di Kabul yang dikendalikan oleh wanita dan memfokuskan pendidikan golongan tersebut melaporkan, pegawai daripada Kementerian Penerangan dan Kebudayaan Taliban telah menahan kakitangannya ketika menggeledah premis berkenaan.

“Pegawai telah merampas komputer, fail dan telefon bimbit kakitangan Begum, termasuk wartawan wanita, serta menahan dua pekerja lelaki yang tidak memegang sebarang jawatan pengurusan,” kata stesen itu dalam satu kenyataan.

Taliban kemudian mengesahkan penggantungan operasi stesen berkenaan atas alasan melanggar dasar penyiaran dan menyalahgunakan lesen dengan menyediakan kandungan kepada sebuah saluran televisyen berpangkalan di luar negara tanpa kebenaran.

Langkah itu mengundang kecaman daripada organisasi hak media antarabangsa, Reporter Without Borders (RSF), yang menuntut penggantungan itu dibatalkan segera.

Sebelum ini, Radio Begum menyiarkan enam jam pengajaran sehari merangkumi program kesihatan, psikologi serta kerohanian untuk wanita di kebanyakan wilayah Afghanistan.

Pengurusan stesen radio itu menegaskan pihaknya hanya memberi pendidikan kepada gadis dan sokongan kepada wanita Afghanistan tanpa terlibat dalam sebarang aktiviti politik.

Malah, stesen itu turut mempunyai saluran yang menawarkan kelas pembelajaran dalam talian dari studio yang terletak di Paris, bagi memberikan akses pendidikan lebih luas kepada golongan wanita di Afghanistan yang diharamkan daripada bersekolah selepas darjah enam.

Tahun lalu sahaja, Taliban menutup sekurang-kurangnya 12 media, sama ada milik kerajaan mahupun swasta.

Afghanistan kini berada di kedudukan ke-178 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar yang diterbitkan oleh RSF.

Rejim itu turut melaksanakan larangan ketat terhadap suara wanita di tempat awam, termasuk nyanyian, bacaan mahupun ucapan yang semakin menyulitkan Radio Begum untuk terus berfungsi dalam memberikan maklumat kepada pendengar wanita di negara itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN