Seorang maut, empat cedera insiden jet terbabas di Arizona

Seorang maut, empat cedera insiden jet terbabas di Arizona

Jet Arizona.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARIZONA: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala empat lagi cedera selepas sebuah jet perniagaan bersaiz sederhana terbabas dari landasan ketika mendarat di lapangan terbang perbandaran Scottsdale, Arizona, dan bertembung dengan jet lain yang sedang diparkir, menurut pihak berkuasa.

Jurucakap Jabatan Bomba Scottsdale, Dave Folio berkata, seorang mangsa terperangkap di dalam salah satu pesawat dan pasukan penyelamat berusaha mengeluarkannya.

“Tiga lagi mangsa dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut,” katanya, tanpa memberikan maklumat terperinci mengenai punca kejadian.

Laman penjejakan penerbangan ADS-B Exchange menunjukkan pesawat tersebut berlepas dari Austin, Texas sebelum tiba di Scottsdale.

Sementara itu, Datuk Bandar Scottsdale, Lisa Borowsky berkata, lapangan terbang ditutup buat sementara waktu untuk memastikan pihak berkuasa dapat menyiasat dengan lebih lanjut berkaitan dengan insiden tersebut.

“Lapangan terbang kini ditutup sementara. Kami sedang memantau situasi ini dengan rapat serta bekerjasama dengan pihak berkuasa lapangan terbang, polis dan agensi persekutuan. Kami akan memaklumkan perkembangan terkini kepada masyarakat sebaik sahaja maklumat lanjut diterima.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut, yang melibatkan sebuah pesawat jenis Learjet 35A yang terbabas sebelum bertembung dengan jet Gulfstream 200.

Kejadian itu berlaku ketika keselamatan penerbangan di Amerika Syarikat (AS) berada di bawah penelitian rapi, susulan beberapa nahas udara yang meragut nyawa dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) kini sedang menyiasat tiga insiden nahas maut baru-baru ini, termasuk pertembungan di udara antara sebuah pesawat penumpang dan helikopter Black Hawk milik Tentera Darat AS di Washington, D.C. yang mengorbankan 67 orang.

Turut disiasat ialah nahas jet perubatan di Philadelphia yang menyebabkan tujuh maut, serta satu lagi insiden pesawat terhempas di Alaska yang meragut 10 nyawa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN