TOKYO: Sekumpulan penyelidik Jepun berjaya mencipta tangan robot terbesar seumpamanya yang bergerak menggunakan tisu otot manusia.
Menurut laporan Kyodo News, penyelidik tersebut berharap tangan biohibrid yang memiliki lima jari ini dapat digunakan pada tangan prostetik.
Tangan tersebut dengan kepanjangan 18 sentimeter termasuk bahagian lengan bawah bergerak secara individu menggunakan pelbagai sendi.
Ia mampu melakukan pergerakan jari yang kompleks, seperti menggenggam dan menggerakkan hujung objek kecil, kata penyelidik dari Universiti Tokyo dan Universiti Waseda itu.
Berbeza dengan peranti biohibrid terdahulu yang hanya mampu membuat pergerakan sendi tunggal dan terhad kepada saiz kira-kira 1cm, pasukan penyelidik mengatasi masalah tersebut dengan menggabungkan beberapa lapisan tisu otot nipis ke dalam formasi seperti gulungan sushi untuk bertindak sebagai satu otot yang lebih besar.
Reka bentuk tersebut memastikan nutrien sampai ke setiap tali otot, menjadikan tisu-tisu ini cukup kuat untuk membolehkan tangan robot bergerak.
“Penyelidikan ini membuka jalan untuk meningkatkan kekuatan otot dalam tangan robot biohibrid.
“Ia boleh membawa kepada realisasi robot yang menyerupai manusia atau tangan prostetik yang lebih tepat,” kata Pakar Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tokyo, Prof. Shoji Takeuchi.
Penemuan pasukan penyelidik ini diterbitkan dalam jurnal Science Robotics pada 12 Februari. AGENSI










