Rompakan mata wang kripto Bybit disyaki angkara penggodam Korea Utara

Rompakan mata wang kripto Bybit disyaki angkara penggodam Korea Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penggodam Korea Utara dipercayai menjadi dalang rompakan mata wang kripto Bybit bernilai lebih AS$1.5 bilion (RM6.62 bilion) pada Jumaat lalu, menurut penyelidik keselamatan.

Syarikat mata wang digital itu berkata, seorang penggodam telah mengawal dompet Ethereum (ETH) dan memindahkan jumlah nilai pegangan berkenaan ke alamat yang tidak dikenali.

Ketua Pegawai Eksekutif Bybit, Ben Zhou dalam ciapan di lman X berkata, ETH adalah satu-satunya dompet yang diserang manakala semua dompet lain dalam tukaran mata wang digital itu tidak terjejas dan pengeluaran berjalan seperti biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Firma analitik blockchain Arkham Intelligence dan Elliptic, serta penganalisis blockchain ZachXBT menjejaki penggodaman bernilai bilion dolar itu kepada Kumpulan Lazarus dari Korea Utara.

Lazarus adalah kumpulan penggodam yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) berikutan dakwaan dikawal oleh Biro Perisikan Umum, iaitu agensi perisikan utama Korea Utara.

Kumpulan ini telah dituduh terlibat dalam serangan ransomware ‘WannaCry’, penggodaman bank-bank antarabangsa dan akaun pelanggan, serta serangan siber ke atas Sony Pictures Entertainment pada tahun 2014.

“Semua dana pelanggan adalah selamat, dan operasi kami diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan. Pasukan keselamatannya bersama pakar forensik sedang menyiasat insiden tersebut.

“Bybit masih berdaya maju walaupun kerugian penggodaman ini tidak dipulihkan, menyokong semua aset pelanggan dan boleh menampung kerugian,” tambah Zhou.

Menurut perbincangan dalam talian mengenai penggodaman tersebut, beliau juga memberi jaminan kepada pengguna bahawa dana mereka adalah selamat serta melancarkan program bayaran balik untuk pengguna yang terjejas.

Menurut syarikat tersebut, penggodam mengeksploitasi protokol keselamatan semasa transaksi, membolehkan mereka memindahkan aset ke alamat yang tidak dikenali.

Ini menyebabkan dompet luar talian yang menyimpan ETH terjejas, dan para penggodam mencuri 400,000 mata wang itu pada pagi Jumaat.

ETH yang merupakan mata wang kripto kedua terbesar mengikut nilai pasaran selepas Bitcoin, bernilai US$2,641.41 (RM11,671) setiap syiling pada Jumaat selepas penggodaman tersebut, turun hampir empat peratus.

Zhou berkata, Bybit memegang aset pelanggan berjumlah US$20 bilion (RM88.37 billion) dan memberi jaminan mana-mana dana yang tidak dipulihkan akan ditampung melalui perbendaharaan syarikat atau pinjaman jangka pendek daripada rakan kongsi.

Skala rompakan ini jauh melebihi rekod rompakan ETH dan USD Coin dari Rangkaian Ronin pada tahun 2022, yang juga dikatakan dilakukan oleh kumpulan Lazarus.

Bybit memberi perkhidmatan kepada lebih 60 juta pengguna di seluruh dunia dan menawarkan akses kepada pelbagai mata wang kripto, termasuk bitcoin dan ether.

Ditubuhkan pada 2018, Bybit dikatakan mempunyai pelabur awal yang terkenal, termasuk sekutu rapat Presiden AS, Donald Trump, Peter Thiel, menurut Pitchbook. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN