Ratusan warga asing dibebaskan dari pusat scam Myanmar 

Ratusan warga asing dibebaskan dari pusat scam Myanmar 

WARGA asing yang dibebaskan daripada pusat penipuan telekomunikasi di wilayah Karen, Myanmar menunggu untuk menyeberangi sempadan ke Thailand.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Seramai lebih 260 warga asing dari 20 negara termasuk Malaysia yang bekerja di pusat penipuan telekomunikasi di Wilayah Karen, Myanmar telah dibebaskan oleh kumpulan etnik bersenjata sebelum dibawa ke Thailand.  

Warga asing yang kebanyakannya berasal dari benua Afrika dan Asia itu kini dalam proses penilaian oleh tentera Thailand untuk menentukan sama ada mereka merupakan mangsa pemerdagangan manusia sebelum dihantar pulang.  

Langkah pembebasan itu dibuat selepas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping minggu lalu dan berikrar untuk menutup pusat-pusat penipuan yang semakin berleluasa di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar.  

Kerajaan Thailand bertindak menghentikan bekalan elektrik dan bahan api ke kawasan sempadan, termasuk mengetatkan kawalan perbankan serta visa bagi menghalang kumpulan penipu menggunakan negara itu sebagai transit untuk membawa masuk pekerja dan mengalirkan wang haram.  

Tindakan tersebut dibuat selepas desakan daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang Thailand sejak dua tahun lalu yang mahukan kerajaan bertindak lebih tegas terhadap sindiket penipuan rentas sempadan.  

Kebanyakan pekerja asing ini ‘dipancing’ ke pusat penipuan dengan janji tawaran gaji lumayan, manakala sebahagian lagi ditipu kononnya mereka akan bekerja di Thailand tetapi akhirnya dihantar ke Myanmar.  

Lapor BBC, sindiket penipuan ini menyasarkan pekerja yang mahir berbahasa Inggeris dan Mandarin, sebelum memaksa mereka menjalankan aktiviti jenayah siber seperti penipuan cinta, mata wang kripto, pengubahan wang haram serta perjudian dalam talian.  

Sebahagian pekerja dikatakan rela melakukan kerja tersebut, namun ramai juga yang dipaksa tinggal dan hanya dibebaskan sekiranya keluarga mereka membayar wang tebusan dalam jumlah besar.  

Para pekerja asing itu diserahkan oleh Tentera Kebajikan Demokratik Karen (DKBA), kumpulan bersenjata yang menguasai wilayah Karen namun sebelum ini mereka didakwa melindungi operasi sindiket dan membiarkan penyalahgunaan pekerja secara meluas di pusat-pusat penipuan.  

Kerajaan Myanmar pula tidak dapat menguasai sepenuhnya negeri Karen sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.   

Selain Malaysia, kebanyakan mangsa berasal dari Ethiopia, Kenya, Filipina, Pakistan, China, Indonesia, Taiwan, Nepal, Uganda, Laos, Burundi, Brazil, Bangladesh, Nigeria, Tanzania, Sri Lanka, India, Ghana, dan Kemboja.  

Kerajaan Thailand kini terus mempergiat usaha membanteras pusat-pusat penipuan ini bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dikawal dan tidak menjejaskan hubungan diplomatiknya dengan negara jiran. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN