BUENOS AIRES: Presiden Argentina, Javier Milei kini berdepan gesaan pemecatan serta tindakan undang-undang atas dakwaan penipuan selepas mempromosikan mata wang kripto di media sosial.
Milei pada Jumaat lalu memuat naik hantaran di platform X mengenai syiling $LIBRA yang dikatakannya mampu membantu membiayai perniagaan kecil dan syarikat pemula di samping berkongsi pautan untuk membeli mata wang tersebut, menyebabkan nilainya melonjak mendadak.
Namun, dalam tempoh beberapa jam sahaja, Milei bertindak memadam hantaran tersebut, mengakibatkan nilai kripto itu merudum sehingga para pelabur mengalami kerugian besar.
Tindakan Milei itu menimbulkan kemarahan ramai pihak, termasuk ahli-ahli Kongres pembangkang yang kini merancang untuk memulakan proses pemecatan beliau.
Di media sosial, ada pihak menuduh Milei melakukan taktik ‘rug pull’, iaitu satu bentuk penipuan kripto di mana penganjur menarik pelabur untuk membeli, sebelum menghentikan aktiviti dagangan dan melarikan wang hasil jualan.
Pengguna internet turut menyedari pautan pembelian syiling tersebut mengandungi frasa yang sering digunakan Milei dalam ucapannya.
Namun, Pejabat Presiden Argentina dalam satu kenyataan pada Sabtu menegaskan hantaran itu dipadam bagi mengelakkan spekulasi selepas reaksi masyarakat terhadap pelancaran mata wang tersebut.
Kenyataan itu turut menafikan penglibatan Milei dalam pembangunan kripto berkenaan dan menyatakan Pejabat Anti-Rasuah akan menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku, termasuk oleh Presiden sendiri.
Kecaman daripada pihak pembangkang semakin memuncak, termasuk daripada bekas Presiden Cristina Fernández de Kirchner, yang menggelar Milei sebagai ‘penipu kripto’ dalam satu hantaran yang mendapat lebih 6.4 juta tontonan.
Sementara itu, gabungan pembangkang utama negara itu mengumumkan mereka akan mengemukakan permohonan rasmi bagi memecat Milei, menyifatkan insiden ini sebagai ‘skandal yang belum pernah terjadi sebelum ini’.-AGENSI










