Mesir tolak cadangan terajui pentadbiran Gaza pasca perang

Mesir tolak cadangan terajui pentadbiran Gaza pasca perang

PENUNJUK perasaan berhimpun bagi mempamerkan solidariti kepada penduduk Palestin di sempadan Rafah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Mesir menolak sebarang cadangan untuk meminta negara itu mengambil alih Gaza selepas pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid, mencadangkan agar Kaherah mengurus sementara wilayah Palestin itu. 

Jurucakap Kementerian Luar Mesir, Tamim Khallaf menyifatkan cadangan itu sebagai ‘penyelesaian separuh jalan’ yang hanya akan meneruskan kitaran konflik dan bukannya menyelesaikannya secara kekal.

“Sebarang cadangan yang tidak mematuhi prinsip-prinsip asas pendirian Mesir dan negara Arab, serta asas yang kukuh dalam menangani intipati konflik, iaitu pengunduran Israel dari wilayah Palestin yang diduduki dan penubuhan negara Palestin yang bebas, adalah tidak boleh diterima.

“Cadangan ini adalah penyelesaian separuh jalan yang hanya akan menyemarakkan kembali konflik dan bukannya menyelesaikannya secara muktamad,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan hubungan penting antara Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin yang membentuk negara Palestin masa depan. 

Beliau menekankan bahawa kawasan ini mesti berada di bawah kedaulatan dan pentadbiran penuh Palestin.

Pada Selasa, Lapid mencadangkan agar Mesir mengawal Gaza selama 15 tahun dengan syarat menghapuskan hutang luar negara Palestin yang melebihi AS$150 bilion (RM666.7 bilion)

Lapid mengemukakan cadangan tersebut dalam ucapan di Yayasan Pembelaan Demokrasi (FDD) di Washington dan kemudiannya menerbitkannya di laman X, menurut akhbar Israel, Maariv.

Lapid mendakwa selama 15 tahun tersebut, Gaza akan dibina semula dan syarat untuk pemerintahan sendiri akan diwujudkan. 

“Mesir akan menjadi pemain utama dan akan mengawasi pembinaan semula, yang akan mengukuhkan ekonominya,” katanya.

Sementara itu, kumpulan pejuang Hamas menolak sebarang rancangan untuk melucutkan senjata atau diusir dari Gaza, dengan menegaskan bahawa masa depan wilayah itu mesti ditentukan melalui konsensus nasional Palestin.

Israel terus menduduki wilayah Palestin, Syria, dan Lubnan, malah enggan menarik diri atau mengiktiraf negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya dalam sempadan pra-1967.

Gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan telah dilaksanakan di Gaza sejak bulan lalu, menghentikan peperangan Israel yang telah mengorbankan hampir 48,350 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berhadapan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangannya terhadap wilayah terkepung itu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×