KAHERAH: Mesir dan Palestin mengadakan perbincangan mengenai rancangan pemulihan di Gaza yang musnah akibat serangan Israel tanpa perlu memindahkan rakyat Palestin dari wilayah itu.
Perbincangan berlangsung dalam satu mesyuarat di Kaherah antara Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty dan Perdana Menteri Palestin yang juga Menteri Luar, Mohamed Mustafa.
Kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu mengulangi sokongan Mesir terhadap pentadbiran Palestin serta rancangan reformasinya.
Menurut kenyataan itu, kepentingan memperkasakan Pihak Berkuasa Palestin (PA) secara politik dan ekonomi penting untuk melaksanakan tugasnya di Gaza sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin.
Mesir juga menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan pemulihan di Gaza, memastikan penghantaran bantuan dan membersihkan runtuhan tanpa memindahkan rakyat Palestin dari kawasan itu.
Badr turut mengulas usaha Mesir untuk mengekalkan perjanjian gencatan senjata Gaza dan melaksanakan semua syaratnya.
Kelmarin, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam sidang media di Washington bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, AS akan mengambil alih Gaza selepas memindahkan rakyat Palestin ke lokasi lain.
Rancangan pembangunan semula luar biasa itu didakwa boleh menjadikan wilayah itu sebagai ‘Riviera Asia Barat’.
Trump turut mengulangi desakannya supaya rakyat Palestin di Gaza perlu dipindahkan ke Jordan dan Mesir dengan menyebut wilayah bergolak itu sebagai tapak kemusnahan selepas perang Israel.
Cadangannya, bagaimanapun ditolak oleh Amman dan Kaherah.
Mesyuarat menteri enam negara Arab di Kaherah pada Sabtu lalu turut menolak sekeras-kerasnya sebarang pemindahan penduduk Palestin dari Gaza dan mengulangi gesaan untuk melaksanakan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.-AGENSI










