Israel larang bekas tahanan Palestin ‘jejak kaki’ ke Masjid Al-Aqsa

Israel larang bekas tahanan Palestin ‘jejak kaki’ ke Masjid Al-Aqsa

ORANG ramai berkumpul di hadapan Kubah Al-Sakhrah di perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, untuk menunaikan solat Jumaat.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel merancang untuk menghalang rakyat Palestin yang dibebaskan di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan daripada memasuki Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur sepanjang bulan Ramadan.

Penyiar awam Israel, KAN, melaporkan polis tidak akan membenarkan rakyat Palestin yang dibebaskan daripada penjara dalam beberapa minggu lalu untuk memasuki kawasan sensitif itu sepanjang bulan Ramadan.

KAN turut melaporkan, polis Israel akan menempatkan 3,000 anggota setiap hari di pos pemeriksaan menuju ke Baitulmuqaddis Timur dan Masjid Al-Aqsa.

Permit hanya diberikan kepada lelaki berusia lebih 55 tahun dan wanita berusia lebih 50 tahun, lapor penyiar itu.

Setiap tahun, rakyat Palestin berdepan sekatan ketat Israel yang mengehadkan kemasukan mereka ke Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan, di tengah peningkatan ketegangan di Tebing Barat yang diduduki.

Ratusan tahanan Palestin dibebaskan sebagai pertukaran bagi beberapa tebusan Israel di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza, yang berkuat kuasa bulan lalu.

Kaum Yahudi memanggil kawasan Masjid Al-Aqsa sebagai Gunung Kuil, dengan mendakwanya sebagai tapak dua kuil Yahudi pada zaman dahulu.

Israel menduduki Baitulmuqaddis Timur semasa Perang Arab-Israel 1967 sebelum merampas seluruh bandar itu pada 1980, dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan penjajahan Israel di wilayah Palestin sebagai tidak sah dan menuntut pengosongan semua penempatan haram di Tebing Barat serta Baitulmuqaddis Timur.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×