JUNEAU: Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bangkai pesawat kecil yang di Alaska pada Khamis lalu ditemukan, dengan tiga orang disahkan maut.
Menurut pengawal pantai, tujuh lagi mayat dipercayai berada di dalam pesawat, tetapi tidak dapat diakses buat masa ini kerana keadaannya yang rosak teruk.
Pihak berkuasa berkata, pesawat Cessna Caravan itu membawa 10 penumpang apabila lokasinya hilang kira-kira 19 kilometer dari pantai pada petang Khamis lalu.
Pengawal pantai berkata, bangkai pesawat itu ditemukan 55km ke tenggara bandar Nome, destinasi asalnya selepas berlepas dari Unalakleet.
Pasukan Polis Negeri Alaska berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai sebuah pesawat syarikat penerbangan Bering Air yang ‘terlewat tiba’ pada pukul 4 petang (waktu tempatan) Khamis lalu.
Pengawal Pantai kemudian memaklumkan pesawat tersebut mengalami kehilangan ketinggian dan kelajuan secara mendadak sebelum lokasinya hilang.
Butiran mengenai individu di dalam pesawat belum didedahkan, tetapi Jabatan Keselamatan Awam Alaska mengesahkan 10 penumpang termasuk seorang juruterbang.
Operasi mencari dan menyelamat melalui udara terhad akibat keadaan cuaca yang menghalang jarak penglihatan, menurut beberapa pihak terlibat dalam usaha menyelamat.
Gabenor Alaska, Mike Dunleavy meluahkan dukacita terhadap insiden kehilangan pesawat tersebut.
“Doa kami bersama para penumpang, juruterbang dan keluarga mereka dalam masa yang sukar ini,” katanya.– BBC










