WASHINGTON: Pemecatan besar-besaran kakitangan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bermula ketika Presiden Donald Trump dan penasihatnya, Elon Musk mahu mempercepatkan ‘pembersihan’ birokrasi persekutuan, menurut sumber kepada Reuters.
pDalam tempoh 48 jam lalu, ramai kakitangan terutama yang baharu dilantik dan masih dalam tempoh percubaan, dipecat daripada beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendidikan, Pentadbiran Perniagaan Kecil dan Pentadbiran Perkhidmatan Am.
Kakitangan percubaan di Pejabat Pengurusan Perkhidmatan (OPM) turut dipecat dalam satu panggilan berkumpulan pada Khamis, dan diminta meninggalkan ibu pejabat agensi di Washington pada pukul 3 petang (waktu tempatan).
Trump dan Musk kini memperluaskan penstrukturan kerajaan, termasuk di agensi pemungut cukai (IRS) dan meminta kedutaan AS bersedia untuk pengurangan staf.
Langkah itu adalah sebahagian daripada janji Trump untuk mengurangkan saiz kerajaan dan membersihkan apa yang disebutnya sebagai ‘deep state’, merujuk kepada birokrat yang tidak cukup setia kepadanya.
Sekitar 280,000 kakitangan awam diambil bekerja kurang dua tahun lalu, dan kebanyakannya masih dalam tempoh percubaan.
Musk, yang mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), turut melaksanakan pemotongan besar-besaran terhadap 2.3 juta pekerja kerajaan persekutuan, dengan menghantar anggota DOGE ke lebih 16 agensi kerajaan dan mengakses sistem yang mengandungi maklumat sensitif.
Pentadbiran Trump turut mengarahkan kedutaan AS di seluruh dunia untuk bersedia dengan langkah pengurangan kakitangan.
Tindakan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ribuan pekerja yang takut menjadi sasaran seterusnya.
Musk, dalam panggilan video di Persidangan Kerajaan Antarabangsa di Dubai, turut menyatakan bahawa beberapa agensi kerajaan perlu dimansuhkan.
Trump meneruskan usaha itu walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran undang-undang daripada kesatuan sekerja dan peguam negara Demokrat selain kritikan daripada beberapa pakar kewangan Republikan, yang menyifatkan inisiatif itu didorong oleh ideologi.
Bagaimanapun, Trump mempertahankan usaha itu atas alasan kerajaan persekutuan terlalu membazir dan banyak wang hilang disebabkan pembaziran dan ketirisan.










