WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mahu Ukraine mengadakan pilihan raya, berkemungkinan sebelum akhir tahun ini jika Kyiv berjaya mencapai gencatan senjata dengan Russia dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan Utusan Khas Presiden Donald Trump untuk Ukraine dan Russia, Jeneral Keith Kellogg dalam satu temu bual, kelmarin.
“Kebanyakan negara demokratik tetap mengadakan pilihan raya ketika berperang. Saya rasa ia penting untuk dilakukan.
“Saya fikir baik untuk demokrasi. Itulah keindahan sebuah demokrasi yang kukuh. Anda mempunyai lebih daripada satu calon yang berpotensi bertanding,” katanya.
Trump dan Kellogg berkata, AS sedang merangka rancangan untuk menjadi pengantara dalam beberapa bulan pertama pentadbiran baharu bagi menamatkan perang yang tercetus oleh pencerobohan berskala penuh Russia pada Februari 2022.
Bagaimanapun, mereka belum mendedahkan butiran terperinci mengenai strategi untuk menamatkan konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, mahupun bila rancangan tersebut akan diumumkan.
Kellogg dan pegawai Rumah Putih lain sudah membincangkan mengenai usaha untuk mendesak Ukraine mengadakan pilihan raya, sebagai sebahagian daripada gencatan senjata awal dengan Russia, menurut dua individu yang mengetahui perbincangan tersebut.
Sementara itu, dua sumber yang sering terlibat dengan perbincangan pentadbiran Trump mendakwa, pegawai AS juga sedang mempertimbangkan sama ada akan mendesak gencatan senjata awal sebelum cuba berunding perjanjian jangka panjang.
Jika pilihan raya presiden diadakan di Ukraine, penyandang baharu mungkin bertanggungjawab untuk merundingkan perjanjian jangka panjang dengan Moscow, kata sumber itu.
Sebelum ini, Presiden Volodymyr Zelenskyy berkata, Ukraine boleh mengadakan pilihan raya tahun ini jika pertempuran berakhir dan terdapat jaminan keselamatan bagi menghalang Russia daripada meneruskan serangan.
Penasihat kanan dan pegawai kerajaan Kyiv berkata, pentadbiran Trump masih belum secara rasmi meminta Ukraine mengadakan pilihan raya presiden sebelum akhir tahun.- AGENSI










