AS henti biaya program pencegahan kebakaran hutan

AS henti biaya program pencegahan kebakaran hutan

ANGGOTA bomba memadam kebakaran hutan yang memusnahkan kediaman di kawasan Altadena di daerah Los Angeles, California-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Pentadbiran Presiden Donald Trump menghentikan pembiayaan program persekutuan yang bertujuan mengurangkan risiko kebakaran hutan di negeri barat Amerika Syarikat (AS).

Langkah itu termasuk pembekuan pengambilan anggota bomba bermusim, sebagai sebahagian daripada pemotongan perbelanjaan kerajaan.

Pengurangan peruntukan untuk pencegahan kebakaran berlaku sebulan selepas kebakaran besar di Los Angeles, yang menjadi bencana paling merugikan dalam sejarah AS, dengan anggaran mencecah AS$35 bilion (RM155 bilion).

Projek Pemulihan Lomakatsi yang berpangkalan di Oregon berkata, kontraknya dengan agensi persekutuan, termasuk Perkhidmatan Hutan AS dan Biro Pengurusan Tanah, untuk mengurangkan bahan api berbahaya di Oregon, California dan Idaho, dibekukan.

“Pembekuan dana memberi kesan kepada lebih 30 geran dan perjanjian berasingan yang dimiliki Lomakatsi dengan agensi persekutuan, termasuk geran yang belum selesai serta perjanjian aktif yang sudah pun dilaksanakan di lapangan,” kata Pengarah Eksekutifnya, Marko Bey dalam surat kepada Senator Demokrat Oregon, Jeff Merkley.

Bey berkata, pembekuan itu memaksa organisasi tersebut memberhentikan 15 pekerja dan menghentikan beberapa projek aktif.

Sekitar 65 peratus daripada bajet mereka datang daripada dana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Pengurangan Inflasi dan Akta Infrastruktur, yang dilaksanakan semasa era Presiden Joe Biden.

“Tidak kira apa perspektif politik, kita semua bersetuju bahawa risiko kebakaran perlu dikurangkan, tetapi dengan pembekuan dana ketika ini, kami tidak dapat menjalankan projek tersebut kerana ketidakpastian bila akan dibayar,” katanya.

Menurut jurucakap Jabatan Pertanian yang mengawasi Perkhidmatan Hutan, semua program dan kakitangan sedang disemak semula, termasuk Jabatan Dalam Negeri yang turut menilai keputusan pembiayaan.

Senator Demokrat menggesa pentadbiran untuk membuka semula dana kecemasan kebakaran dan meminta pengecualian daripada pembekuan pengambilan anggota bomba bermusim.

Setiap tahun, agensi AS mengupah kira-kira 15,000 anggota bomba bermusim.

Keadaan kering dan penumpukan bahan mudah terbakar di barat AS telah menyebabkan kebakaran yang lebih kerap dan sukar.

Trump sering menyalahkan pengurusan hutan yang lemah atas kebakaran besar-besaran, termasuk semasa lawatannya ke kawasan kebakaran di Los Angeles.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN