BANGKOK: Sekurang-kurangnya 17 orang maut dan lebih 20 lagi cedera apabila sebuah bas membawa rombongan pegawai kerajaan terbabas sebelum terbalik ketika menuruni bukit di timur Bangkok.
Menurut laporan media, insiden itu melibatkan satu daripada konvoi tiga buah bas yang sedang dalam perjalanan membawa pegawai kerajaan tempatan dari Wilayah Bueng Kan membuat lawatan kerja ke Rayong.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) selepas bas dua tingkat membawa 49 penumpang itu dilaporkan hilang kawalan di selekoh ketika menuruni Bukit Phu Thon di Prachinburi sebelum terbalik di sisi jalan.
Menurut Polis Lebuhraya Thailand, laporan awal mendapati nahas itu berlaku akibat kegagalan brek.
“Anggota penyelamat dari Yayasan Sajja Kabin Buri membawa mangsa yang cedera ke Hospital Na Di dan Hospital Kabin Buri untuk rawatan.
“Kami sudah menyoal siasat pemandu dan dia berkata brek tidak berfungsi ketika bas itu menuruni bukit,” jelasnya.
Ketua Daerah Na Di, Somjai Phutthasena berkata, kebanyakan mangsa kemalangan maut itu adalah pegawai dari Pejabat Perbandaran Daerah Kecil Phon Charoen di wilayah Isaan di Bueng Kan.
“Polis mengesyaki kegagalan sistem brek adalah punca kemalangan. Bagaimanapun, pakar dan pegawai berkaitan akan menyiasat koc bas tersebut untuk menentukan punca sebenar kejadian,” katanya.
Ramai warga net terutama penduduk tempatan di kawasan itu meninggalkan komen di laman Facebook Polis Lebuhraya, mengadu tentang kekurangan lampu jalan dan keadaan selekoh yang terlalu berbahaya dipercayai menyumbang kepada kemalangan maut itu.-AGENSI










