STOCKHOLM: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam kejadian tembakan di pusat pendidikan di tengah Sweden, termasuk lelaki yang disyaki bersenjata.
Perdana Menteri, Ulf Kristersson menyifatkan serangan pada Selasa di sekolah Risbergska di Orebro, 200 kilometer barat ibu kota Stockholm, sebagai insiden tembakan besar-besaran paling teruk dalam sejarah Sweden.
Polis percaya suspek lelaki terbabit termasuk dalam senarai maut dan dia tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.
Setakat ini, motif serangan masih belum dikenal pasti dan suspek dipercayai bertindak sendirian.
“Sukar untuk menerima besarnya tragedi yang berlaku hari ini,” kata Kristersson dalam sidang media, malam tadi.
Sebelum ini, polis memberi amaran jumlah kematian mungkin terus meningkat, susulan merujuk kepada beberapa mangsa yang cedera.
Terdahulu, polis melaporkan lima orang ditembak dan insiden disiasat sebagai cubaan membunuh, pembakaran serta kesalahan senjata serius.
Polis turut mengesahkan serangan itu tiada kaitan dengan motif keganasan.
Mereka menerima laporan mengenai tembakan di sekolah Risbergska – sebuah pusat pendidikan dewasa – pada pukul 12.33 (waktu tempatan).
Kemudahan itu terletak di dalam kampus yang turut menempatkan sekolah lain.
Pusat pendidikan itu kebanyakannya dihadiri oleh individu yang belum menamatkan pendidikan rendah atau menengah.– BBC










