Puerto Rico sambut tahun baharu dalam gelap

Puerto Rico sambut tahun baharu dalam gelap

LAMPU isyarat tidak berfungsi akibat gangguan bekalan elektrik di San Juan, Puerto Rico.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN JUAN: Gangguan bekalan elektrik besar-besaran menyebabkan lebih 1.5 juta penduduk di Puerto Rico bergelap ketika sambutan tahun baharu.

Kegagalan grid menyebabkan hampir seluruh pulau itu terputus bekalan elektrik dengan syarikat utiliti elektrik wilayah pulau AS itu memaklumkan pemulihan boleh mengambil masa sehingga dua hari.

Bangunan bergelap sejak awal Selasa manakala persimpangan lalu lintas sesak tanpa lampu isyarat, dengan hanya lampu kenderaan menerangi jalan.

“Penemuan awal menunjukkan kerosakan pada kabel bawah tanah mencetus gangguan bekalan tetapi punca sebenar masih disiasat,” kata  LUMA Energy yang menguruskan penghantaran kuasa di pulau itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden diberi taklimat mengenai gangguan itu dan Rumah Putih berkata, bantuan persekutuan tersedia  untuk mempercepatkan pemulihan.

“Ini adalah proses yang panjang dan sukar yang memerlukan kerjasama tempatan dan persekutuan. Kami meminta Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk terus memudahkan projek yang telah kami mulakan,” kata Gabenor Puerto Rico, Pedro Pierluisi di laman X.

Gangguan tersebut berlaku ketika pulau Caribbean itu memasuki musim sibuk kemasukan pelancong dari kawasan sejuk di tanah besar AS dan hanya beberapa jam sebelum sambutan ambang tahun baharu.

LUMA Energy memaklumkan, perkhidmatan sudah dipulihkan di beberapa kemudahan kritikal, termasuk pusat perubatan dan hospital di ibu kota San Juan.

Puerto Rico, kepulauan berbahasa Sepanyol yang berada di bawah kawalan AS pada tahun 1898 menghadapi masalah infrastruktur  berterusan, diburukkan lagi oleh Taufan Maria yang dahsyat pada 2017.

Grid kuasa Puerto Rico berdepan mengalami gangguan yang kerap sejak taufan itu melanda.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN