TEBING BARAT: Beberapa rumah, kereta, perniagaan rakyat Palestin dibakar dalam keganasan peneroka terbaharu di seluruh Tebing Barat.
Terdapat laporan mengenai peneroka haram Israel melakukan serangan dan tindakan pencerobohan terhadap masyarakat Palestin di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Tentera Israel turut dilaporkan menangkap berpuluh-puluh rakyat Palestin.
Pihak berkuasa Palestin (PA) di Jinsafut dan Funduq, dua kampung kira-kira 70 kilometer di utara Baitulmuqaddis berkata, berpuluh-puluh peneroka Israel menyerang rumah dan perniagaan tempatan.
Di Jinsafut, tiga rumah warga Palestin, sebuah taska dan sebuah kedai pertukangan yang terletak di jalan utama kampung itu dibakar.
Di Funduq, berpuluh-puluh peneroka Israel melepaskan tembakan, membaling batu ke arah rumah dan membakar kereta, rumah serta kedai.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pegawainya merawat 12 orang yang dipukul oleh peneroka semasa serangan ke atas kampung tersebut.
Sembilan orang turut dirawat kerana terhidu gas beracun selepas tentera Israel menyerbu perkampungan Palestin yang diserang peneroka.
Tentera Israel mendakwa menyuraikan peneroka dan melancarkan penyiasatan tetapi tidak menyebut tentang kerosakan yang ditimbulkan, kecederaan kepada penduduk tempatan Palestin, atau menangkap mana-mana penyerang.
Menurut agensi berita WAFA, peneroka haram turut menyerbu sebuah rumah di kawasan Masafer Yatta berhampiran Hebron dan menyerang kenderaan milik warga Palestin berhampiran bandar Tuqu, tenggara Baitulaham dan di bandar Dura, barat daya Hebron.
WAFA juga melaporkan, sekumpulan peneroka haram yang dilindungi oleh pasukan keselamatan Israel, berkumpul berhampiran perkampungan Burqa di timur Ramallah dan menabur paku di atas jalan raya untuk merosakkan tayar kenderaan penduduk Palestin yang masuk dan keluar.
Kumpulan peneroka turut berkumpul berhampiran perkampungan Kafr Malek dan Ein Siniya berhampiran Ramallah bagi menghalang pergerakan warga Palestin.










