SEOUL: Mahkamah Korea Selatan semalam menolak permohonan kedua untuk melanjutkan tempoh penahanan Presiden, Yoon Suk Yeol yang sedang menghadapi proses pemecatan.
Menurut laporan agensi berita Yonhap, permohonan baharu itu dikemukakan selepas mahkamah di Seoul pada Jumaat lalu membuat keputusan sama dengan menolak usaha pihak pendakwa untuk memanjangkan tempoh penahanan Suk Yeol sehingga 6 Februari bagi melengkapkan siasatan tambahan.
Bagaimanapun, mahkamah berpendapat keperluan pihak pendakwa raya untuk meneruskan siasatan oleh Agensi Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Kanan tidak lagi signifikan.
Suk Yeol sebelum ini ditahan secara rasmi pada Ahad lalu, dengan undang-undang negara itu membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 10 hari, yang boleh dilanjutkan selama 10 hari lagi jika diperlukan.
Namun dengan keputusan mahkamah tersebut, beliau dijangka dibebaskan selewat-lewatnya esok.
Difahamkan, meskipun penahanan tidak dilanjutkan, pendakwa raya berkemungkinan akan mendakwa Suk Yeol yang boleh menyebabkan beliau terus ditahan sekiranya didakwa secara rasmi.
Beliau mula ditahan pada 15 Januari lalu sebelum penahanannya disahkan secara rasmi dan permohonan lanjutan kedua dibuat selepas Pejabat Penyiasatan Rasuah menyerahkan kes berkaitan siasatan darurat tentera kepada pendakwa raya pada Khamis lalu.
Bekas presiden itu kini disiasat atas dakwaan mengetuai pemberontakan dan menjadi dalang kepada pengisytiharan darurat tentera yang hanya berlangsung seketika pada 3 Disember lalu.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa dengan menghantar pasukan tentera ke Parlimen bagi menghalang ahli-ahli perundangan daripada membatalkan perintah tersebut.
Setakat ini, Suk Yeol dilaporkan enggan bekerjasama dalam sesi soal siasat oleh pendakwa raya dan badan anti-rasuah.
Beliau telah dipecat melalui proses undian di Parlimen pada 14 Disember lalu dan digantung tugas sementara menunggu keputusan semakan oleh Mahkamah Perlembagaan.
Sekiranya pemecatan itu disahkan, pilihan raya awal perlu diadakan dalam tempoh dua bulan dan sebaliknya, jika keputusan pemecatan ditolak, Suk Yeol akan kembali berkhidmat sebagai presiden. -AFP










