GAZA: Selepas empat tebusan Israel di Gaza dibebaskan semalam, perayaan diteruskan di Tebing Barat yang diduduki apabila 200 tahanan Palestin dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai Israel-Hamas.
Ketika Israel dan Hamas menyelesaikan pertukaran tebusan kedua mereka di bawah perjanjian gencatan senjata yang bertujuan untuk membuka jalan menamatkan perang secara kekal, pertikaian saat akhir menghalang kepulangan ratusan ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.
Empat tebusan yang dibebaskan, semuanya tentera wanita, tiba di sebuah hospital di pinggir Tel Aviv selepas lebih 15 bulan ditawan di Gaza.
Perkhidmatan penjara Israel mengesahkan bahawa 200 tahanan Palestin dibebaskan sebagai pertukaran, dengan beberapa daripada mereka kemudiannya dihantar pulang.
Tawanan Israel, Karina Ariev, Daniella Gilboa dan Naama Levy, semuanya berumur 20 tahun dan Liri Albag, 19, melambai ketika mereka diarak di atas pentas di Gaza City, diapit anggota pejuang bertopeng dan bersenjata.
Selepas penyerahan mereka kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, tentera berkata, empat wanita itu dibawa ke Israel dan disatukan semula dengan keluarga mereka.
Di Ramallah, rakyat Palestin bersorak gembira apabila berpuluh-puluh tahanan yang dibebaskan tiba dengan bas dari penjara.
Menurut Suruhanjaya Palestin bagi Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan dan Persatuan Tahanan Palestin, kumpulan kedua termasuk individu dengan hukuman penjara seumur hidup dan tempoh penjara yang panjang.
Antaranya, 121 banduan sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 79 sedang menjalani hukuman jangka panjang.
Pembebasan itu menyaksikan 114 banduan dari Penjara Ofer dipindahkan ke Ramallah, 16 banduan dihantar pulang ke Gaza dan 70 lagi diusir keluar dari Palestin.
Antara yang dibebaskan ialah banduan Palestin tertua, Mohammad Al-Tous, 67, dari kampung Al-Jabaa, selatan Baitulaham yang telah menghabiskan 39 tahun di penjara Israel.
Semasa proses pembebasan, pasukan pendudukan Israel mengisytiharkan kawasan berhampiran Penjara Ofer sebagai zon tentera tertutup, menyuraikan keluarga tahanan dan penyokong dengan peluru hidup dan gas pemedih mata.
Dalam pada itu, ratusan rakyat Palestin berkumpul di Kompleks Hiburan Ramallah untuk menyambut 114 banduan yang dibebaskan dari penjara tersebut.
Acara itu turut dihadiri oleh Gabenor Ramallah dan Al-Bireh, Layla Ghannam bersama beberapa tokoh kepimpinan Palestin.
Pembebasan itu menandakan perkembangan penting dalam pelaksanaan perjanjian gencatan senjata, dengan suasana penuh emosi dalam kalangan keluarga dan penyokong yang meraikan kepulangan tahanan.-AFP










