KYIV: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh, manakala 13 lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas sebuah dron Russia menyerang sebuah pangsapuri bertingkat di bandar Sumy, timur laut Ukraine, awal pagi tadi.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy dalam ucapannya mengutuk serangan itu yang disifatkan sebagai sebahagian daripada taktik Russia dalam menghancurkan kehidupan rakyatnya.
“Jam demi jam, kami menerima maklumat terkini mengenai situasi di Sumy. Operasi di lokasi serangan dron Shahed milik Russia sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau turut menegaskan setiap serangan seperti itu memerlukan tindakan balas daripada masyarakat antarabangsa.
Tentera Ukraine melaporkan, Russia telah melancarkan sebanyak 81 dron dalam serangan malam tadi, menyebabkan kerosakan pada premis perniagaan dan kediaman di beberapa wilayah.
Pasukan pertahanan udara Ukraine berjaya menembak jatuh 37 dron, manakala 39 lagi gagal mencapai sasaran.
Nasib lima lagi dron masih belum dapat dipastikan.
Menurut Gabenor Sumy, Volodymyr Artyukh, pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Serangan itu turut mengakibatkan kemusnahan lima unit apartmen serta merosakkan lebih 20 buah kenderaan, kata pihak berkuasa.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan pasukan penyelamat sedang menyusuri serpihan runtuhan dalam usaha mengesan mangsa yang terselamat.
Wilayah Sumy bersempadan dengan wilayah Kursk di Russia dan sering menjadi sasaran serangan dron sejak Ukraine melancarkan serangan balas pada Ogos 2024.
Russia berulang kali menafikan pihaknya sengaja menyasarkan orang awam, namun sejak pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada Februari 2022, ribuan orang terbunuh dan cedera akibat serangan Moscow. -AGENSI










