DOHA: Seramai 10 wartawan yang membuat liputan mengenai perang Gaza untuk dua rangkaian berita terkemuka dunia, CNN dan BBC, mendedahkan terdapat berat sebelah pro-Israel dan pelanggaran prinsip kewartawanan dalam laporan mereka sejak 7 Oktober tahun lalu.
Beberapa wartawan mendakwa, pegawai kanan di bilik berita tidak mengambil tindakan terhadap pegawai Israel dan cuba campur tangan dalam laporan bagi meremehkan tindakan kejam rejim.
Dalam satu kes di CNN, propaganda palsu Israel disiarkan meskipun terdapat amaran awal daripada anggota kakitangan.
Perkara itu didedahkan kumpulan wartawan tersebut melalui program The Listening Post di Al Jazeera, sebuah program mingguan yang mengupas media dunia untuk dokumentari khas, Failing Gaza: Behind the Lens of Western Media.
Wartawan CNN, Adam berkata, sebelum konflik 7 Oktober, beliau dengan ikhlas mempercayai amalan kewartawanan rangkaian berita itu.
“Namun selepas 7 Oktober, saya sangat terkejut melihat laporan berita yang menyokong naratif Israel muncul.
“Ada kalanya CNN berani untuk mengemukakan isu-isu dengan tegas, tetapi secara keseluruhan jelas sekali pendirian kita tidak sepenuhnya berpihak kepada kebenaran,” katanya.
Adam berkata, terdapat satu tempoh ketika wartawan CNN tidak boleh melaporkan serangan udara di Gaza, melainkan dengan pengesahan daripada pihak Israel.
“Baru-baru ini, apabila pegawai kesihatan Gaza mengumumkan serangan Israel membunuh lebih 40,00 orang, Editor CNN, Mike McCarthy mengarahkan kami untuk menyesuaikan konteks laporan mendakwa Hamas bertanggungungjawab.
“Itu digambarkan dalam rangka pemberitaan ketika disusun,” katanya.
Sementara itu, bekas wartawan BBC, Sara, turut menuduh penyiar Britain berkenaan bersikap berat sebelah dalam menemu bual tetamu.
“Yang paling kerap disiasat adalah tetamu yang mewakili pihak Palestin.
“Jurucakap Israel yang hadir diberikan kebebasan untuk berkata apa sahaja dengan hanya sedikit kekangan atau tanpa tentangan langsung,” katanya.
Sepanjang tahun lalu, pakar dan wartawan veteran menuduh media Barat mengekalkan berat sebelah pro-Israel dan cuba meminimumkan suara penderitaan rakyat Palestin.
Sebilangan kecil wartawan di The New York Times dan BBC meletak jawatan secara terbuka, kerana enggan menutup kebenaran yang berlaku di Gaza.










