Konservasi enggang tarik pelancong asing ke Taman Negara

Konservasi enggang tarik pelancong asing ke Taman Negara

ROSLAN Abu Kassim (kanan) bersama dua pelancong 'Mat Saleh' menyertai aktiviti memerhati burung liar di Lembah Enggang Tembeling berdekatan Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kerajaan disaran mewartakan Lembah Enggang di Kuala Tahan sebagai Pusat Konservasi Burung Enggang bagi melindungi habitat unggas berkenaan di samping merancakkan sektor ekopelancongan di Taman Negara.

Pengerusi Bird Group Taman Negara (BGTN), Roslan Abu Kassim berkata, kawasan itu merupakan habitat sembilan daripada 10 spesies burung enggang yang masih terdapat di negara ini dan sering menjadi tumpuan peminat serta pengkaji burung liar dari dalam dan luar negara.

Penubuhan pusat konservasi penting memastikan spesies enggang, termasuk Helmeted Hornbill yang diancam kepupusan, terus dipelihara.

“Kalau tiada usaha pembiakan dan pemuliharaan sistematik, mungkin Helmeted Hornbill dan lapan spesies lain pupus pada masa depan,” katanya.

Roslan bersama ahli BGTN pernah membentangkan cadangan mewartakan Lembah Enggang Tembeling yang meliputi kawasan sepanjang kira-kira 10 kilometer dari Kampung Kuala Tahan hingga Bukit Awan, Ulu Tembeling sebagai habitat utama burung enggang.

Cadangan itu turut dipromosikan ketika pameran burung antarabangsa di Rutland, England pada 2016 dan pewartaan kawasan itu perlu disertai larangan penerokaan dan penebangan hutan bagi memastikan habitat burung enggang terus terpelihara.

“Pihak berwajib disaran membina pondok pemerhatian burung di lokasi strategik bagi memudahkan pelancong, peminat burung liar dan penyelidik menjalankan aktiviti masing-masing,” katanya.

BGTN mengemukakan kertas cadangan penubuhan Pusat Konservasi Burung Enggang kepada sebuah agensi kerajaan, namun masih belum menerima maklum balas.

Ia turut menganjurkan Program Memerhati Burung Liar (TNBC) sejak 2014 yang menarik penyertaan pelancong, penyelidik, penuntut universiti dan pencinta alam seluruh dunia.

Tahun ini lebih 2,000 pelancong termasuk dari Belanda, Romania dan England mengunjungi kawasan itu untuk aktiviti memerhati burung yang berpotensi menjadi produk pelancongan bertaraf antarabangsa, terutama pada musim panas antara Mac hingga September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN