Kos baik pulih jambatan merah RM6j, siap 2027

Kos baik pulih jambatan merah RM6j, siap 2027

KEADAAN sebahagian daripada struktur Jambatan Merah di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang yang mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh dilalui pengunjung. – UTUSAN/ SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jambatan ­Merah sepanjang 450 meter yang menghubungkan Teluk Cempedak dengan Teluk Tongkang di sini akan dibaik pulih membabitkan kos RM6 juta selepas mengalami kerosakan struktur sejak 2023.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Kuan­tan (MBK), Hani Syazani Ka­marudin Arifin berkata, kerja baik pulih dijangka bermula selepas pelantikan kontraktor pada Ogos ini dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung 2027.

Katanya, projek berkena­an merupakan antara inisiatif MBK bagi mengembalikan fungsi laluan pejalan kaki yang menjadi salah satu ikon re­kreasi di kawasan Teluk Cempedak.

“Jambatan Merah bukan sahaja menjadi laluan penghubung antara Teluk Cempe­dak dan Teluk Tongkang, ma­lah turut meningkatkan aspek ke­selamatan serta keselesaan pengunjung yang menggunakan kawasan rekreasi itu.

“Kerja pembaikan dijangka mengambil masa lebih setahun sebelum siap sepenuhnya. Apabila siap kelak, orang ramai dapat menggunakan semula laluan ini dengan lebih selamat dan selesa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tinjauan di lokasi mendapati laluan pejalan kaki ber­kenaan masih ditutup kepada pengunjung susulan kerosakan pada struktur jambatan yang menyebabkan ia tidak lagi selamat digunakan.

Kerosakan itu dipercayai berpunca daripada keuzuran bahan binaan selepas bertahun-tahun terdedah kepada persekitaran marin yang mencabar termasuk air masin, kelembapan tinggi, cuaca ekstrem dan pukulan ombak berterusan.

Pemerhatian mendapati beberapa bahagian struktur jambatan mengalami kerosakan yang memerlukan pembaikan menyeluruh bagi memastikan keselamatan pengguna apabila dibuka semula nanti.

Keadaan itu menyebabkan pengunjung tidak lagi mempunyai akses pejalan kaki yang menghubungkan kedua-dua kawasan berkenaan seperti sebelum ini, sekaligus menjejaskan aktiviti riadah, berjoging dan menikmati panorama pantai.

Hani Syazani berkata, kerja baik pulih di kawasan pesisir pantai lebih kompleks berbanding pembinaan biasa ke­rana memerlukan penggunaan bahan binaan yang tahan terhadap kakisan dan hakisan air laut.

Katanya, kaedah pembinaan juga perlu disesuaikan dengan keadaan muka bumi dan faktor ombak bagi memastikan struktur baharu lebih kukuh dan tahan lama.

“Peruntukan RM6 juta itu bersesuaian dengan skop ­kerja membabitkan pembaikan ke­seluruhan laluan supaya jambatan ini dapat digunakan dalam tempoh yang panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN