Restoran Vietnam tular, lancar hidangan aneh mi daging teh boba

Restoran Vietnam tular, lancar hidangan aneh mi daging teh boba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Sebuah restoran di Vietnam, Yu Tang, baru-baru ini tular selepas memperkenalkan hidangan baharu unik mi daging dengan teh boba, memanfaatkan kesempatan terhadap populariti teh susu mutiara ubi kayu yang semakin digemari ramai itu.

Yu Tang, restoran yang berpusat di Hanoi melancarkan hidangan baharu itu yang menggabungkan teh susu, mutiara boba, mi tebal dan hirisan daging yang dimasak bersama campuran sup sayur-sayuran, teh hitam, dan susu segar.

Rasanya dilaporkan agak pelik seperti yang boleh dibayangkan, malah ada dalam kalangan pencipta kandungan Vietnam yang sukar untuk menggambarkan rasanya.

Ada yang mendakwa rasanya mirip teh boba tetapi tanpa kemanisan yang biasa, manakala yang lain berkata tekstur mutiara boba tidak sesuai dengan hidangan tersebut.

“Rasa keseluruhan tidak mengagumkan atau istimewa,” komen vlogger, Duc Anh.

Tambahnya, mi tersebut tidaklah menjijikkan seperti yang dibayangkan oleh ramai orang, tetapi ia tawar serta tidak saling melengkapi antara satu sama lain.

Restoran Vietnam ini melancarkan hidangan baharu mereka pada 29 September lalu sebagai usaha untuk mempromosikannya sebagai kombinasi unik yang hanya boleh didapati di cawangan mereka di Hanoi.

Walaupun menerima ulasan bercampur-campur, hidangan ini tetap menjadi perbualan hangat di media sosial Vietnam hasil daripada kempen pemasaran agresif restoran tersebut.

Bagi mereka yang berada di Hanoi dan ingin mencuba mi daging teh boba ini, anda boleh mengunjungi Yu Tang dan bersedia untuk membayar sebanyak 98,000 dong (RM16.92) setiap hidangan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN