DHAKA: Tribunal khas di Dhaka mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dan memulakan prosedur perbicaraan dalam kes berkaitan pembunuhan ratusan orang semasa protes pelajar, baru-baru ini.
Ketua Pendakwa Raya Tribunal Jenayah Antarabangsa, Tajul Islam berkata, 46 individu yang dikaitkan dengan pembunuhan protes itu tersenarai dalam waran tangkap yang dikeluarkan kelmarin.
Selain Hasina, beliau menyebut nama Setiausaha Agung Liga Awami, Obaidul Quader, bekas Menteri Undang-Undang, Anisul Huq, bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal dan bekas Menteri Luar, Hasan Mahmud.
Menurutnya, tribunal itu akan mendengar 70 kes berkaitan dengan keganasan yang berlaku pada Julai dan Ogos lalu.
“Kebanyakan pelaku utama kini adalah buruan, jadi kami tidak boleh mendedahkan nama sehingga mereka ditangkap.
“Tetapi, ia mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina dan mereka yang berada di peringkat tertinggi adalah tertuduh dalam banyak kes.
“Kami berusaha untuk menyelesaikan proses perbicaraan jenayah paling penting yang berkaitan dengan tertuduh utama secepat mungkin,” katanya kepada Arab News.
Ditubuhkan pada 2010 semasa pemerintahan Hasina, Tribunal Jenayah Antarabangsa adalah mahkamah domestik yang bertanggungjawab menyiasat dan mendakwa suspek pembunuhan beramai-rasmai 1971 yang dilakukan oleh Tentera Pakistan dan sekutu tempatan semasa Perang Pembebasan Bangladesh.
Ia juga mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah perang lain dan jenayah kemanusiaan.
Pada awalnya, demonstrasi pelajar secara aman bermula di Bangladesh pada Julai, bagi menuntut kerajaan membatalkan polisi kuota pengambilan bagi jawatan dalam perkhidmatan awam negara itu.
Dua minggu kemudian, demonstrasi itu bertukar ganas selepas tindakan keras pasukan keselamatan, sehingga mengorbankan lebih 600 nyawa.
Keganasan itu menyebabkan kebangkitan di seluruh negara pada awal Ogos, sehingga memaksa Hasina meletakkan jawatan dan melarikan diri ke India.










