JAKARTA: Para hakim di seluruh Indonesia memulakan mogok selama seminggu bermula 7 Oktober untuk menuntut kenaikan gaji, mendakwa tidak mengalami sebarang perubahan selama 12 tahun walaupun inflasi terus meningkat.
Mogok tersebut dianjurkan oleh gerakan Solidaritas Hakim Indonesia, menyaksikan hakim-hakim menggunakan cuti mereka dari 7 hingga 11 Oktober.
Dianggarkan sekitar 7,700 hakim bertugas di peringkat daerah, wilayah, dan kebangsaan di Indonesia.
Di Banten, Mahkamah Daerah Serang terpaksa menangguhkan perbicaraan jenayah dan rasuah kerana masalah kekurangan hakim.
Menurut Jakarta Globe, aktiviti di sebuah mahkamah di Bekasi turut berkurangan daripada jumlah biasa semalam sedangkan kebiasaanya empat perbicaraan dijadualkan pada hari berkenaan.
“Kami tidak boleh mengecewakan mereka yang menuntut keadilan dan perkhidmatan awam kami mesti diteruskan,” kata jurucakap mahkamah
Jurucakap Solidaritas Hakim Indonesia, Fauzan Arrasyid, berkata terdapat lebih 1,600 hakim telah berikrar untuk menyertai mogok tersebut dan lebih ramai dijangka akan turut serta.
Menurut peraturan kerajaan pada 2012, gaji pokok seorang hakim junior di Indonesia adalah sekitar 16.6 juta rupiah (RM4,535) sebulan, termasuk faedah sebanyak 14.6 juta rupiah (RM3,985).
Selain isu gaji, kediaman rasmi dan kemudahan pengangkutan yang disediakan untuk hakim juga tidak mencukupi, termasuk kekurangan aspek keselamatan ketika bertugas.
“Hakim-hakim di Indonesia telah memperjuangkan peningkatan kebajikan mereka selama sekurang-kurangnya lima tahun, tetapi kegagalan pihak berkuasa bertindak telah menyebabkan mogok ini diadakan dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan,” kata Fauzan.
Gerakan tersebut turut mendesak kerajaan Indonesia untuk meluluskan rang undang-undang yang pertama kali dibincangkan pada 2015, tetapi dilaporkan tergendala di Dewan Perwakilan sejak 2019.
Rang undang-undang itu akan menyediakan rangka kerja undang-undang untuk jawatan hakim dan menggariskan hak serta tanggungjawab mereka.
Rang undang-undang tersebut juga akan memperuntukkan penglibatan sebuah suruhanjaya dalam pengambilan, kenaikan pangkat, pemantauan, serta tindakan terhadap hakim yang didapati melanggar undang-undang. – AGENSI










