China, Myanmar kongsi kedudukan tercorot kebebasan internet 

China, Myanmar kongsi kedudukan tercorot kebebasan internet 

KAKITANGAN pembanci mengumpul maklumat penduduk semasa kempen banci kebangsaan di Naypyidaw, Myanmar.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China dan Myanmar kini berkongsi kedudukan sebagai negara paling rendah kebebasan internet dunia, menurut laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh badan bukan kerajaan Freedom House yang dibiayai Amerika Syarikat (AS).

Laporan itu mendapati kebebasan internet global merosot untuk tahun ke-14 berturut-turut, dengan China dan Myanmar masing-masing mendapat skor sembilan daripada 100 dalam laporan Freedom on the Net 2024: The Struggle for Trust Online.

China sekian lama berada di tangga terbawah dalam kebebasan internet dunia akibat kawalan ketat terhadap kandungan dalam talian dan sistem pengawasan Great Firewall. 

Sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, junta Myanmar turut mengetatkan cengkaman terhadap kebebasan bersuara dan akses dalam talian dengan melaksanakan penutupan internet secara meluas serta membina rejim penapisan dan pengawasan besar-besaran.

Sekatan internet di Myanmar juga bertujuan untuk menyekat aktiviti aktivis prodemokrasi dan kumpulan penentang bersenjata.

Sementara itu, di China, laporan Freedom House mendapati kerajaan terus berusaha untuk mengasingkan internet domestik China daripada dunia luar, dengan menyekat trafik antarabangsa ke beberapa laman web kerajaan dan mengenakan denda besar ke atas individu yang menggunakan VPN.

Pihak berkuasa China juga meningkatkan kawalan terhadap ruang siber, termasuk mengekang blog, enjin carian gergasi dari AS dan media sosial selain mengawal selia tanda suka pada hantaran awam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan rejim junta sedang membina ‘diktator digital’ untuk mengekang kebebasan dalam talian dan meningkatkan pengawasan terhadap rakyat. 

Akses kepada maklumat dalam talian disifatkan sebagai ‘isu hidup atau mati’ bagi ramai orang di Myanmar, khususnya mereka yang mencari perlindungan daripada serangan tentera serta krisis ekonomi dan kemanusiaan yang parah.

Laporan itu juga membincangkan mengenai kempen penyebaran maklumat salah dalam talian dan campur tangan politik menjelang pilihan raya, termasuk gangguan terhadap penyelidik bebas serta pemeriksa fakta. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN