MANILA: Ribuan pasukan marin Amerika Syarikat (AS) dan Filipina melancarkan latihan bersama selama 10 hari di utara dan barat Filipina, sehari selepas China mengadakan latihan besar-besaran di sekitar Taiwan.
Latihan tahunan Kamandag atau Venom tertumpu untuk mempertahankan pantai utara Pulau Luzon yang terletak kira-kira 800 kilometer dari Taiwan.
Beijing menganggap Taiwan sebahagian daripada wilayahnya dan berikrar tidak akan menolak menggunakan kekerasan untuk merampasnya, menggelar latihan semalam sebagai ‘amaran keras’ kepada pasukan pemisah di pulau itu.
Latihan bersama itu diadakan di tengah-tengah siri konfrontasi yang semakin memuncak antara China dan Filipina mengenai terumbu karang dan perairan di Laut China Selatan.
Bagaimanapun Komandan Kor Marin Filipina, Mejar Jeneral Arturo Rojas menegaskan latihan itu sudah lama dirancang dan tiada kaitan dengan apa sahaja yang berlaku di rantau itu.
Tumpuan utama latihan adalah latihan tembakan langsung di sepanjang pantai utara Luzon, manakala aktiviti lain akan dijalankan di pulau kecil Filipina antara Luzon dan Taiwan.
“Ia adalah doktrin pertahanan pantai. Doktrin itu mengatakan akan ada penceroboh yang mungkin menuju ke wilayah kita. Kami tidak berlatih untuk menyertai perjuangan mengenai Taiwan,” kata Pengarah Latihan Filipina, Brigadier Jeneral Vicente Blanco kepada pemberita.
Wakil Marin AS, Kolonel Stuart Glenn berkata, latihan itu bertujuan membantu AS dan sekutunya bertindak balas terhadap sebarang krisis atau kontingensi.
Pulau Palawan di barat Filipina yang berhadapan dengan Laut China Selatan yang dipertikaikan, juga akan menjadi tuan rumah sebahagian daripada latihan itu.
AS dan Filipina masing-masing meletakkan lebih seribu peserta manakala pasukan lebih kecil dari Australia, Britain, Jepun dan Korea Selatan turut mengambil bahagian.
Pendaratan amfibia dan latihan tentang cara mempertahankan diri daripada peperangan kimia dan biologi juga antara aktiviti yang dirancang.
Ketika ‘permainan perang’ itu bermula hari ini, kerajaan Filipina mengumumkan satu daripada kapal peronda awamnya mengalami kerosakan kecil pada 11 Oktober lalu apabila ia sengaja digesel oleh kapal Maritim China.
Biro Perikanan dan Sumber Akuatik berkata, perlanggaran itu menyebabkan bahagian kanan hadapan kapal BRP Datu Cabaylo rosak, berlaku kira-kira 9.3 kilometer dari Pulau Thitu yang dikawal Filipina di Spratly.
Beijing selama bertahun-tahun berusaha untuk meluaskan kehadirannya di kawasan laut yang dipertikaikan, mengetepikan keputusan antarabangsa bahawa tuntutannya terhadap kebanyakan laluan air itu tidak mempunyai asas undang-undang.
China dilaporkan mengerahkan kapal tentera dan pengawal pantai sejak beberapa bulan lalu dalam usaha untuk mengeluarkan Filipina daripada trio terumbu karang dan pulau lain yang penting secara strategik di Laut China Selatan.-AFP










