ISLAMABAD: Jumlah kes polio di Pakistan meningkat kepada 24 tahun ini, sekaligus memaksa pihak berkuasa tempatan menggesa golongan ibu bapa segera membawa anak-anak mereka untuk menerima vaksin bagi mengekang penularan wabak itu.
Pakistan merupakan satu daripada dua negara di dunia yang masih bergelut dengan wabak polio.
Pada tahun ini, ribuan petugas kesihatan di seluruh Pakistan terlibat dalam kempen nasional untuk memberi suntikan vaksin kepada jutaan kanak-kanak di bawah usia lima tahun dalam usaha membendung penyebaran wabak itu.
Bagaimanapun, polio terus menular di seluruh negara dengan bilangan kes yang dicatatkan pada tahun ini merupakan antara tertinggi sejak 2021.
Selepas pihak berkuasa kesihatan melaporkan kes polio pertama di Islamabad dalam tempoh 16 tahun awal bulan ini, kes terbaharu dilaporkan di wilayah Sindh melibatkan kanak-kanak berusia dua tahun.
“Setiap kali kes polio baharu dilaporkan, ia menimbulkan kebimbangan yang besar. Sedangkan dunia sedang maju ke hadapan, kita masih belum bebas daripada polio,” kata Ketua Menteri Sindh, Syed Murad Ali Shah pada Sabtu.
Jurucakap Pusat Operasi Kecemasan di Sindh, Nofil Naqvi, berkata virus tersebut masih merebak kerana ada kanak-kanak yang belum menerima suntikan vaksin.
“Kami sedang melaksanakan beberapa perubahan dalam operasi dan strategi komunikasi kami. Kami berharap penularan ini akan dihentikan tidak lama lagi, yang akan membawa kepada pembasmian sepenuhnya virus polio,” kata Naqvi kepada Arab News.
Walaupun bilangan kes berkurangan dengan ketara dalam tempoh tiga dekad lalu, negara itu masih berdepan cabaran besar termasuk penyebaran maklumat palsu dan ancaman kumpulan militan yang menyerang petugas vaksin, terutamanya di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa.
Program polio juga terjejas akibat bencana alam, termasuk banjir yang membawa kemusnahan besar kepada sebahagian besar kawasan di Pakistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. -AGENSI










