WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah satu ‘langkah keadilan’ untuk ramai mangsanya, termasuk beribu-ribu rakyat AS, Israel dan orang awam Lubnan.
Dalam satu kenyataan sehari selepas serangan udara Israel di pinggir bandar selatan Beirut mengorbankan Nasrallah, Biden mengulangi sokongan AS terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri daripada Hezbollah, Hamas, Huthi dan mana-mana kumpulan pengganas yang disokong Iran.
Timbalan Presiden, Kamala Harris, yang bertanding jawatan presiden pada November, menggelar Nasrallah sebagai ‘pengganas dengan darah AS di tangannya’.
Sokongan kuat daripada Washington, sekutu utama Israel, dibuat ketika Russia, beberapa negara Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang kemungkinan kesan buruk pembunuhan itu.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan ketegangan dramatik peristiwa di Beirut dalam 24 jam terakhir.
“Kitaran keganasan ini mesti dihentikan sekarang, dan semua pihak mesti berundur. Rakyat Lubnan, rakyat Israel, serta wilayah yang lebih luas, tidak mampu melakukan perang habis-habisan,” kata jurucakap, Stephane Dujarric
Dalam kenyataannya, Biden menekankan keperluan untuk penyelesaian diplomatik.
“Akhirnya, matlamat kami adalah untuk meredakan konflik yang sedang berlaku di Gaza dan Lubnan melalui cara diplomatik,” katanya.
Biden turut menyebut tentang cadangan gencatan senjata di Gaza dan rundingan untuk membenarkan penduduk Israel serta selatan Lubnan pulang dengan selamat.
“Sudah tiba masanya untuk perjanjian ini dilaksanakan, untuk ancaman terhadap Israel dihapuskan dan untuk rantau Asia Barat yang lebih luas memperoleh kestabilan yang lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, Washington sedang mengkaji kehadiran tenteranya di rantau itu.
Biden berkata, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin untuk mempertingkatkan lagi postur pertahanan pasukan tentera AS di rantau Asia Barat bagi menghalang pencerobohan dan mengurangkan risiko perang serantau yang lebih luas.-AFP










