ANKARA : Turkiye menyekat akses ke platform media sosial Instagram, namun tidak menyatakan sebab atau tempoh larangan itu dilaksanakan.
Keputusan itu diumumkan di laman web Pihak Berkuasa Teknologi Maklumat (BTK) semalam, lapor agensi berita Arab News.
Pegawai komunikasi di pejabat Presiden, Fahrettin Altun pula berkata, langkah itu dibuat selepas hantaran ucapan takziah terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Instagram dipadam.
“Ini jelas memperlihatkan sekatan dan tapisan yang tidak beretika,” jelas Fahrettin dalam satu kenyataan di laman X.
Syarikat pemilik Instagram, Meta Platforms Inc. bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.
Kira-kira 50 juta daripada 85 juta populasi Turkiye adalah pengguna Instagram.
Ini bukan kali pertama Ankara menyekat akses kepada laman media sosial.
Antara April 2017 hingga Januari 2020, akses kepada Wikipedia disekat susulan penyiaran dua artikel mengakitkan Presiden dengan pihak pelampau. – AGENSI










