ISTANBUL: Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Ankara bagi menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berpotensi membantu Turkiye memperoleh puluhan enjin pesawat pejuang F110 yang diidamkan.
Namun lawatan itu dijangka tidak dapat menyelesaikan pertikaian berhubung program pesawat pejuang F-35 yang telah menjejaskan hubungan kedua-dua negara, menurut penganalisis.
Sidang kemuncak NATO dianjurkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 7 hingga 8 Julai ini bakal menghimpunkan pemimpin daripada 32 negara anggota pakatan ketenteraan berkenaan.
Bulan lalu, Trump berjanji akan ‘menggembirakan’ Erdogan apabila ditanya mengenai hasrat Turkiye mendapatkan enjin pesawat F110 dan penyertaannya semula dalam program pesawat pejuang F-35.
Penganalisis berkata, kenyataan itu berkemungkinan memberi laluan kepada kelulusan eksport enjin F110 yang diperlukan Turkiye bagi projek pembinaan pesawat pejuang kalis radar KAAN buatan tempatan.
Pengarah badan pemikir Edam yang berpangkalan di Istanbul, Sinan Ulgen berkata, Turkiye dijangka menerima lampu hijau untuk memperoleh kira-kira 40 enjin F110 General Electric (GE) bagi pesawat KAAN.
“Terdapat halangan sebelum ini terhadap pembekalan enjin berkenaan dan kemungkinan besar halangan itu kini sedang diselesaikan,” katanya kepada AFP.
Beliau berkata, Turkiye sudah menghasilkan beberapa prototaip KAAN yang menggunakan enjin F110 tetapi masih menunggu bekalan tambahan bagi meningkatkan jumlah pesawat itu.
KAAN ialah pesawat pejuang kalis radar berenjin berkembar yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) bagi menggantikan armada pesawat F-16 Tentera Udara Turkiye.
Ia menjadikan negara itu antara pengeluar pesawat pejuang generasi kelima bersama AS, China dan Russia.
Menteri Pertahanan Yasar Guler pada September tahun lalu berkata, walaupun Turkiye merancang melengkapkan KAAN dengan enjin buatan tempatan pada masa depan, projek itu masih di peringkat reka bentuk awal.
Katanya, Turkiye menerima kumpulan pertama sebanyak 10 enjin F110 pada September lalu, manakala rundingan dengan kerajaan AS bagi memperoleh 80 lagi enjin masih diteruskan.
Bagaimanapun, proses itu tertangguh berikutan ketiadaan kelulusan politik yang dikaitkan dengan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 buatan Russia oleh Turkiye pada 2017.
Tindakan itu menyebabkan Washington menyingkirkan Turkiye daripada program pesawat pejuang F-35 pada 2019 sebelum mengenakan sekatan di bawah Akta Menangani Musuh Amerika Melalui Sekatan (CAATSA) setahun kemudian, sekali gus menjejaskan projek pertahanan Ankara dan hubungan dua hala. – AGENSI










