ISTANBUL: Menteri-menteri luar dari Turkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengecam keras tindakan yang disifatkan mereka sebagai mengerikan, menghina serta tidak boleh diterima oleh Menteri Israel, Itamar Ben-Gvir, terhadap peserta-peserta flotila menuju Gaza.
Perbuatan itu dilakukan ketika semua peserta flotila ditahan di Israel.
Dalam kenyataan bersama pada Ahad, para menteri itu berkata, tindakan Ben-Gvir yang memalukan tahanan secara terbuka merupakan serangan memalukan terhadap maruah manusia dan pelanggaran jelas terhadap kewajipan Israel di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Mereka turut mengecam keras apa yang disifatkan sebagai tindakan hasutan dan keganasan haram oleh Ben-Gvir dan pegawai Israel lain terhadap rakyat Palestin di wilayah yang dijajah Israel.
Mereka memberi amaran bahawa tindakan provokatif sedemikian menyemarakkan kebencian dan ekstremisme serta menjejaskan usaha mencapai keamanan yang adil dan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara.
Kenyataan itu turut menuntut pertanggungjawaban terhadap tindakan Ben-Gvir dan menggesa langkah konkrit diambil untuk menghentikan provokasi serta pelanggaran berulang.
Ia menekankan keperluan melindungi hak asasi manusia, memastikan maruah dan layanan berperikemanusiaan terhadap semua tahanan serta menegakkan undang-undang antarabangsa di wilayah Palestin yang dijajah Israel.
Kenyataan itu dibuat susulan penularan rakaman video yang kelihatan menunjukkan Ben-Gvir berjalan di celah aktivis yang ditahan secara tidak sah, ketika mereka melutut dalam keadaan rapat dengan tangan diikat ke belakang.
Flotila yang membawa 428 orang dari 44 negara itu berlepas dari Marmaris, Turkiye pada 14 Mei dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza yang telah berkuat kuasa sejak 2007.
Bagaimanapun, Israel berkata pada Khamis bahawa ia telah mengusir keluar semua aktivis asing yang ditahan oleh tenteranya susulan kemarahan antarabangsa terhadap layanan yang diterima mereka ketika dalam tahanan. – AGENSI/AFP










