Russia ‘setuju’ Turkiye jual sistem pertahanan udara - Utusan Malaysia

Russia ‘setuju’ Turkiye jual sistem pertahanan udara

GAMBAR fail sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Kerajaan Russia melihat secara positif penjualan sistem pertahanan udara negara itu, S-400 yang kini menjadi milik Turkiye kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dedah beberapa sumber dipercayai kepada agensi berita, Middle East Eye (MEE).

Sistem S-400 itu dibeli oleh Turkiye pada 2019 sebelum ini telah mencetuskan kemelut diplomatik yang berpanjangan buat Ankara.

Perolehan aset berkenaan menyebabkan Turkiye disingkirkan daripada program jet pejuang generasi kelima F-35, selain mengundang sekatan ekonomi daripada Amerika Syarikat (AS) terhadap industri pertahanan negara tersebut.

Malah, AS sehingga kini masih menyimpan enam buah jet pejuang itu kerana proses penghantarannya ke Turkiye telah disekat oleh undang-undang AS pada 2020.

Ketika AS dan Turkiye dalam usaha memulihkan hubungan diplomatik susulan kembalinya Donald Trump memegang jawatan presiden pada tahun 2025, isu pemilikan S-400 dan peluang Turkiye untuk kembali menyertai program F-35 telah menjadi topik perbincangan yang amat kritikal.

Mengikut Akta Kebenaran Pertahanan Negara 2020, kerajaan AS diwajibkan untuk memastikan Turkiye tidak lagi memiliki sistem S-400 sebelum negara itu dibenarkan menerima jet pejuang F-35.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, pihak Kremlin mengesahkan laporan berhubung rundingan dengan Turkiye mengenai penjualan sistem berkenaan kepada negara ketiga.

Jurucakap presiden Russia, Dmitry Peskov menyatakan bahawa isu tersebut amat sensitif dan rundingan lanjut akan terus dijalankan buat masa ini.

Tambah sumber Russia, maklum balas awal Moscow terhadap idea Turkiye itu adalah positif. Namun, beberapa perincian teknikal masih perlu diperhalusi selain memerlukan keputusan muktamad daripada Presiden Vladimir Putin. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN