BAITULMUQADDIS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken tiba di Asia Barat untuk mendorong pelaksanaan rancangan gencatan senjata yang dipromosikan Presiden, Joe Biden selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengundi resolusi untuk menyokong pelan tersebut.
Sebanyak 14 negara anggota UNSC mengundi menyokong resolusi digubal AS berhubung rancangan gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang diumumkan oleh Biden pada 31 Mei lalu sementara Russia memilih untuk berkecuali.
UNSC menyertai beberapa kerajaan dan kumpulan negara G7 untuk menyokong pelan tiga bahagian gencatan senjata tersebut dan menggesa usaha itu dilakukan tanpa berlengah atau syarat-syarat rumit.
Cadangan itu menetapkan syarat untuk gencatan senjata penuh dan lengkap, pembebasan tebusan yang dipegang oleh Hamas, pemulangan mayat tebusan yang meninggal dunia dan pertukaran tahanan Palestin.
Resolusi itu menyatakan Israel sudah menerima cadangan gencatan senjata dan menggesa Hamas untuk bersetuju dengannya.
Undian itu meningkatkan tekanan kepada kedua-dua pihak bertelagah untuk bertindak balas secara positif terhadap rancangan berkenaan bagi menamatkan konflik dengan segera.
Ia juga berlaku sejurus selepas Blinken bertemu dengan pemimpin asing, termasuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam usaha membina sokongan bagi perjanjian damai itu.
Dalam lawatan kali kelapan ke Asia Barat, Blinken dilaporkan bertemu Netanyahu di Baitulmuqaddis selama dua jam selepas menghadiri sesi perbincangan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi di Kaherah.
Blinken turut menggesa para pemimpin di rantau itu untuk menekan Hamas supaya bersetuju dengan cadangan gencatan senjata tersebut.
Blinken berkata, Hamas adalah satu-satunya pihak yang belum menerima cadangan perjanjian tiga fasa yang melibatkan pembebasan tebusan dan rundingan untuk menamatkan pertempuran di Gaza.-REUTERS/AGENSI










