Hamas anggap kenyataan Blinken 'berat sebelah'

Hamas anggap kenyataan Blinken ‘berat sebelah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken tiba di Asia Barat untuk mendorong pelaksanaan rancangan gencatan senjata yang dipromosikan Presiden, Joe Biden selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengundi resolusi untuk menyokong pelan tersebut.

TERIMA SOKONGAN UNSC

Sebanyak 14 negara anggota UNSC mengundi menyokong resolusi digubal AS berhubung rancangan gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang diumumkan oleh Biden pada 31 Mei lalu, sementara Russia memilih untuk berkecuali.

Memuatkan artikel berkaitan…

UNSC menyertai beberapa kerajaan dan kumpulan negara G7 untuk menyokong pelan tiga bahagian gencatan senjata tersebut dan menggesa usaha itu dilakukan tanpa berlengah atau syarat-syarat rumit.

Cadangan itu menetapkan syarat untuk gencatan senjata penuh dan lengkap, pembebasan tebusan yang dipegang oleh Hamas, pemulangan mayat tebusan yang meninggal dunia dan pertukaran tahanan Palestin.

Resolusi itu menyatakan Israel sudah menerima cadangan gencatan senjata dan menggesa Hamas untuk bersetuju dengannya.

Undian itu meningkatkan tekanan kepada kedua-dua pihak bertelagah untuk bertindak balas secara positif terhadap rancangan berkenaan bagi menamatkan konflik dengan segera. 

Ia juga berlaku sejurus selepas  Blinken bertemu dengan pemimpin asing, termasuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam usaha membina sokongan bagi perjanjian damai itu.

Dalam lawatan kali kelapan ke Asia Barat, Blinken dilaporkan bertemu Netanyahu di Baitulmuqaddis selama dua jam selepas menghadiri sesi perbincangan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi di Kaherah.

Blinken turut menggesa para pemimpin di rantau itu untuk menekan Hamas supaya bersetuju dengan cadangan gencatan senjata tersebut.

GESA PERSETUJUAN HAMAS

Blinken berkata, Hamas adalah satu-satunya pihak yang belum menerima cadangan perjanjian tiga fasa yang melibatkan pembebasan tebusan dan rundingan untuk menamatkan pertempuran di Gaza.

“Mesej saya kepada seluruh kerajaan dan rakyat di rantau ini adalah jika anda mahu gencatan senjata, tekan Hamas untuk berkata ya,” kata Blinken kepada pemberita sebelum meninggalkan Mesir untuk melawat Israel. 

Diplomat tertinggi AS itu memaklumkan akan membincangkan rancangan tadbir urus dan pembinaan semula di Gaza pasca konflik semasa lawatannya, di mana beliau juga akan bertemu dengan pemimpin serantau di Jordan dan Qatar.

Namun, Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri menegaskan komen gencatan senjata Blinken di Gaza dilihat lebih ‘berat sebelah’ ke arah Israel.

“Komen gencatan senjata Blinken di Gaza adalah berat sebelah kepada Israel dan pendiriannya adalah penghalang sebenar untuk mencapai persetujuan.

“Ucapannya semasa lawatan ke Mesir juga adalah contoh sikap tidak adil AS yang cuba menutup tindakan holocaust yang dijalankan oleh pendudukan di Gaza,” katanya.

Hamas berkemungkinan menuntut jaminan rancangan itu akan membawa kepada gencatan senjata kekal dan pengunduran penuh Israel dari Semenanjung Gaza.

Menurut pegawai AS dan Israel, kepimpinan politiknya di Doha masih belum menjawab secara rasmi cadangan itu.

Fasa pertama cadangan tersebut melibatkan pertukaran tebusan dan banduan serta gencatan senjata jangka pendek.

Ia turut menyeru pengagihan bantuan kemanusiaan yang selamat dan berkesan di seluruh Semenanjung Gaza kepada semua orang awam Palestin yang memerlukannya, termasuk unit perumahan yang dihantar oleh masyarakat antarabangsa.

Fasa kedua pula termasuk menghentikan permusuhan secara kekal serta pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza sementara fasa ketiga memberi tumpuan kepada keadaan jangka panjang wilayah  itu dan pelan pembinaan semula selama beberapa tahun.

Walaupun Biden membentangkan inisiatif damai itu, AS juga sedar pakatan pemerintah Israel yang kini berpecah-belah kemungkinan memandang rancangan itu dengan sinis. 

Ini berikutan tentangan terang-terangan oleh beberapa menteri sayap kanan yang mengancam untuk mencetuskan kejatuhan kerajaan jika perjanjian itu diteruskan.

Peletakan jawatan bekas jeneral, Benny Gantz daripada kabinet perang kelmarin juga dilihat mengeruhkan ketidakstabilan itu.-REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×