LONDON: Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak mengumumkan golongan berusia 18 tahun perlu menjalani program khidmat negara sekiranya parti Tory yang diwakilinya menang dalam Pilihan Raya, 4 Julai depan.
Sunak berkata, orang muda akan diberi pilihan sama ada mahu mengikuti program ketenteraan selama 12 bulan sepenuh masa atau memilih satu hujung minggu sebulan selama setahun bagi menyertai program kesukarelawanan.
Jelasnya, polisi itu akan membantu menyatukan masyarakat dalam ‘dunia yang semakin tidak menentu’ serta memberikan golongan muda ‘rasa tujuan hidup bersama’.
“Program kesukarelawanan termasuk membantu anggota bomba, pihak polis dan petugas kesihatan serta sokongan di rumah orang tua.
“Remaja yang memilih untuk mendaftarkan diri dalam pasukan keselamatan akan ditempatkan di bahagian logistik, keselamatan siber, perolehan atau operasi tindak balas sivil,” katanya.
Bagaimanapun, dasar itu mengundang kritikan Parti Buruh yang menyifatkan racangan itu tidak serius dan sukar menjadi kenyataan.
Sunak berhasrat membuat perbezaan jelas dengan Parti Buruh yang dipimpin oleh Sir Keir Starmer mengenai keselamatan global, susulan ikrarnya yang mahu meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
Suruhanjaya akan ditugaskan untuk mengemukakan cadangan bagaimana projek perintis pertama dibuka untuk permohonan pada September 2025.
Selepas itu, Akta Khidmat Negara akan diperkenalkan bagi mewajibkan langkah itu menjelang sesi akhir Parlimen akan datang.
Program itu dianggarkan menelan perbelanjaan sebanyak 2.5 bilion pound (RM 14.9 bilion).










