Serang zon selamat, Hamas seru dunia tentang genosid kejam Zionis

Serang zon selamat, Hamas seru dunia tentang genosid kejam Zionis

PENDUDUK Palestin melihat serpihan kem pelarian yang musnah dibedil Israel di Rafah di Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 50 orang awam terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam serangan kejam Israel ke atas khemah pelarian bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza yang diisytiharkan sebagai zon selamat.

SERANG ZON SELAMAT

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengumumkan tentera Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai baharu di kawasan yang menempatkan beribu-ribu orang yang dipindahkan.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan, krunya mengangkut sejumlah besar mayat rentung dan mangsa yang cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Lapor Al Jazeera, kem yang dibom itu terletak di kawasan Tal al-Sultan di barat bandar Rafah dan dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA). 

Serangan di kem pelarian itu dilancarkan dalam tempoh 24 jam selepas tentera Israel mengebom khemah pelarian di Jabalia, Nuseirat dan Gaza City sehingga menyebabkan 160 orang maut.

Saksi berkata, serangan itu membakar sejumlah besar khemah perlindungan yang berada di luar kawasan penduduk yang dituntut oleh tentera Israel untuk dipindahkan di bandar Rafah.

Tentera Israel mengesahkan serangan itu dengan alasan menyasarkan pejuang Hamas menggunakan senjata tepat berdasarkan perisikan yang sahih.

Rejim Zionis turut mengaku serangan itu menyebabkan orang awam cedera akibat kebakaran.

“Serangan ke atas perkarangan Hamas di Rafah membunuh Yassin Rabia dan Khaled Nagar, kedua-duanya pegawai kanan kumpulan pejuang Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyedari ada laporan bahawa serangan ini menyebabkan kebakaran dan ada orang awam yang menjadi mangsa. Kami sedang menyiasat isu ini,” katanya.

GESA RAKYAT BANGKIT

Susulan serangan itu, Hamas dalam satu kenyataan menggesa rakyat Palestin bangkit dan berarak menentang pembunuhan beramai-ramai tentera Israel di Rafah.

“Memandangkan pembunuhan beramai-ramai Zionis dilakukan oleh tentera penceroboh di kem pelarian, kami menggesa rakyat  di Tebing Barat, Baitulmuqaddis, wilayah yang diduduki dan di luar negara untuk bangkit serta berarak dengan marah menentang kekejaman ini,” katanya.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah berkata, hospital lapangannya di Rafah menerima kemasukan mangsa dan hospital lain juga menerima sejumlah besar pesakit.

Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri menyifatkan serangan di Rafah sebagai pembunuhan kejam yang amat ngeri dan menuduh Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab kerana membantu Israel dengan senjata dan wang mereka.

“Serangan udara membakar khemah, menyebabkannya cair dan melekat pada mayat mangsa yang ditemui rentung,” kata salah seorang penduduk yang tiba di hospital Kuwait di Rafah.

Tentera Israel dilaporkan membunuh 81 rakyat Palestin dan mencederakan 223 yang lain dalam tempoh 48 jam yang lalu.

Kekejaman terbaharu itu meningkatkan jumlah keseluruhan kematian kepada 35,984 dan mangsa yang cedera kepada 80,643 orang sejak konflik Palestin-Israel tercetus pada 7 Oktober 2023.

Jumlah mangsa juga dikhuatiri jauh lebih tinggi kerana masih ramai yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan bangunan susulan pengeboman bertalu-talu IDF dan kekurangan pasukan penyelamat.

Serangan Israel itu juga adalah misi membalas dendam terhadap Hamas yang melancarkan serangan roket terhadap Tel Aviv semalam buat kali pertama dalam tempoh hampir empat bulan.

Media Israel melaporkan rejim Zionis memberikan dua tawaran kepada pengantara untuk meneruskan perbincangan perjanjian pertukaran tahanan, tetapi laporan menunjukkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu cuba menghalang perjanjian itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN