GAZA: Rundingan untuk melancarkan gencatan senjata Gaza disambung semula selepas Hamas menolak sebarang perjanjian yang gagal menamatkan perang di wilayah Palestin dan menuduh pemimpin Israel Benjamin Netanyahu sengaja menghalang usaha itu.
PERTEMUAN DI KAHERAH
Menurut butiran yang dikeluarkan oleh Britain, perunding yang berusaha menghentikan perang dahsyat selama tujuh bulan mencadangkan jeda 40 hari dalam pertempuran dan pertukaran tebusan untuk tahanan Palestin.
Pengantara Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) bertemu delegasi Hamas di Kaherah kelmarin dan sumber kanan kumpulan itu memberitahu pusingan baharu rundingan disambung semalam.
Masing-masing menyalahkan satu sama lain kerana rundingan terhenti, dengan seorang pegawai kanan Hamas menegaskan kumpulan itu tidak akan bersetuju jika gencatan senjata tidak menamatkan perang sepenuhnya, termasuk pengunduran Israel dari Gaza.
Pegawai yang enggan dinamakan itu mengutuk usaha Israel untuk mendapatkan perjanjian pembebasan tebusan tanpa mengaitkannya dengan menamatkan pencerobohan ke atas Gaza.
“Netanyahu dengan sengaja menghalang usaha untuk mencapai gencatan senjata kerana kepentingan peribadi.
“Israel tidak bersetuju dengan sebarang jaminan bahawa perang akan berakhir,” kata pegawai itu di Baitulmuqaddis.
USAHA SUKAR
Rundingan sebelum ini terbantut disebabkan permintaan Hamas untuk gencatan senjata berkekalan dan janji Netanyahu yang berulang kali mahu menghancurkan pejuang kumpulan itu di selatan bandar Rafah walaupun mengetahui kawasan itu dibanjiri orang awam yang kehilangan tempat tinggal.
Hamas bertegas mahukan jaminan daripada AS supaya Israel tidak akan melancarkan pencerobohan darat di selatan Rafah selepas Israel menegaskan serangan itu akan berlaku tanpa mengira sama ada perjanjian gencatan senjata dicapai atau tidak.
Sebelum ini, Times of Israel mendakwa kumpulan pejuang itu meluluskan fasa pertama perjanjian pembebasan tebusan selepas menerima jaminan daripada AS bahawa Israel akan berundur sepenuhnya dari Gaza selepas 124 hari, apabila ketiga-tiga fasa perjanjian itu selesai.
Saluran 12 memetik seorang pegawai Hamas yang tidak dinamakan sebagai berkata, jaminan AS dimaklumkan melalui pengantara Mesir dan Qatar yang bertemu dengan wakil kumpulan itu di Kaherah.
Perjanjian itu juga dilaporkan datang dengan janji yang disokong oleh AS bahawa Israel tidak akan memulakan operasi ketenteraan yang dirancang di bandar Rafah di selatan Gaza, di mana lebih sejuta rakyat Palestin berlindung ketika pertempuran berterusan.
Cadangan terkini dilaporkan, termasuk fasa pertama yang berlangsung sehingga 40 hari di mana sehingga 33 daripada 128 tebusan Israel yang ditahan di Gaza akan dibebaskan dan pengunduran Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dari bahagian Gaza.
Fasa kedua pula dikatakan akan berlangsung selama 42 hari membabitkan pembebasan semua tebusan hidup yang lain dan pihak yang menyelesaikan urusan untuk ketenangan yang mampan di Gaza.
Fasa ketiga dan terakhir pula akan menyaksikan pertukaran mayat, juga akan berlangsung selama tempoh 42 hari.
Sumber Hamas yang dipetik oleh Saluran 12 memaklumkan kompromi sudah dicapai mengenai jumlah tahanan keselamatan Palestin yang akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk setiap tebusan Israel.
Bagaimanapun sejak semalam, Israel dilaporkan masih belum menghantar delegasi ke Kaherah dan pegawainya mendakwa akan berbuat demikian hanya jika terdapat pergerakan positif pada rangka kerja yang dicadangkan.
“Rundingan yang sukar dan panjang dijangka untuk perjanjian sebenar,” tambah pegawai itu.-AFP










