RIYADH: Tumbuhan hijau yang meliputi kawasan padang pasir di Rizab Alam Diraja Imam Turki bin Abdullah kini meningkat kepada 8.5 peratus, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Rizab tersebut meliputi kawasan seluas 91,000 kilometer (km) persegi, yang terletak di bahagian timur laut Arab Saudi.
Lokasi tersebut merupakan destinasi popular untuk pelawat, terutamanya mereka yang berminat dengan eko-pelancongan, memerhati burung, mendaki dan aktiviti seumpamanya.
Berdasarkan penyelidikan dan kajian lapangan, pihak berkuasa rizab itu berkata, kawasan berkenaan mengalami peningkatan pertumbuhan pokok serta tanaman hijau lain yang ketara sejak musim bunga lalu.
Perkembangan itu dilaporkan didorong oleh kualiti udara yang lebih baik dan pengurangan insiden ribut pasir di beberapa wilayah tengah Arab Saudi.
Rizab itu menanam lebih 600,000 pokok melalui projek hutan padang pasir, selaras dengan sasaran nasional Inisiatif Hijau Arab Saudi, yang menyasarkan untuk menanam lebih daripada 600 juta pokok menjelang 2030.
Usaha pihak berkuasa rizab tertumpu pada melindungi hidupan liar, memulihkan keseimbangan alam sekitar dan menghidupkan semula litupan tumbuh-tumbuhan.
“Kadar litupan hijau di seluruh rizab padang pasir meningkat daripada 1.4 peratus pada 2018 kepada 8.5 peratus yang dicatatkan tahun ini.
“Lebih 180 spesies daripada 38 keluarga tumbuhan dikenal pasti di Rizab Semula Jadi Diraja Imam Turki bin Abdullah, mewakili 7.5 peratus daripada jumlah spesies tumbuhan di negara ini.
“Rizab ini juga menawarkan pengalaman budaya, membolehkan pelawat berinteraksi dengan masyarakat Badwi tempatan, belajar tentang cara hidup tradisional mereka dan menikmati masakan asli,” jelas laporan itu.
Kawasan tersebut merupakan satu daripada enam rizab diraja Arab Saudi yang ditubuhkan pada 2018 atas perintah diraja yang menempatkan kampung dan padang pasir dengan kira-kira 80,000 hingga 100,000 penduduk.









