Pencipta kandungan TikTok saman kerajaan AS

Pencipta kandungan TikTok saman kerajaan AS

PENUNJUK perasaan memegang papan tanda menyokong TikTok di luar Bangunan Capitol AS di Washington.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sekumpulan pencipta kandungan laman TikTok memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bagi menghalang undang-undang ditandatangani oleh Presiden, Joe Biden untuk mengharamkan atau memaksa pelupusan aplikasi video pendek tersebut yang digunakan lebih 170 juta rakyat negara itu.

“Walaupun datang dari pelbagai tempat, profesion, latar belakang kehidupan dan fahaman politik, mereka bersatu dalam pandangan bahawa TikTok memberikan cara yang unik dan tidak boleh diganti untuk mengekspresikan diri mereka dan membentuk komuniti,” kata tuntutan mahkamah itu.

Firma guaman Davis Wright Tremaine LLP yang mewakili lapan pengguna tersebut, memberikan salinan tuntutan mahkamah kepada media yang dikatakan sudah difailkan di Mahkamah Rayuan AS Daerah Columbia.

Antara pengguna TikTok yang mengemukakan saman itu termasuk veteran Pasukan Marin Texas yang menjual produk ternakannya, seorang penjual biskut di Tennessee dan seorang jurulatih kolej North Dakota yang membuat video ulasan sukan.

Saman yang menuntut pelepasan injunksi itu, mendakwa undang-undang tersebut mengancam kebebasan bersuara dan cuba menutup medium komunikasi yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan di AS.

Minggu lalu, TikTok dan syarikat induk Chinanya ByteDance memfailkan tuntutan mahkamah serupa, dengan alasan bahawa undang-undang itu melanggar Perlembagaan AS atas beberapa alasan termasuk melanggar perlindungan pertuturan bebas Pindaan Pertama.

Pengguna TikTok memfailkan saman yang sama pada 2020 bagi menghalang percubaan sebelumnya untuk menyekat aplikasi itu dan juga mengemukakannya sekali lagi tahun lalu di Montana, meminta mahkamah menyekat larangan negara.

Undang-undang, yang ditandatangani oleh Biden pada 24 April lalu, memberikan ByteDance sehingga 19 Januari untuk menjual TikTok atau menghadapi larangan. 

White House berkata, mahu melihat pemilikan berasaskan China ditamatkan atas alasan keselamatan negara tetapi bukan larangan ke atas TikTok.

Undang-undang tersebut juga melarang kedai aplikasi seperti Apple, dan Google Alphabet,  menawarkan TikTok dan menyekat perkhidmatan pengehosan internet daripada menyokongnya melainkan ByteDance melepaskan TikTok selewat-lewatnya pada 19 Januari depan.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN