Pemantau media fail aduan kematian wartawan Palestin di ICC 

Pemantau media fail aduan kematian wartawan Palestin di ICC 

PENDUDUK Palestin melihat kereta membawa dua wartawan Al Jazeera yang dibedil Israel di Rafah di Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Pemerhati media Reporters Without Borders (RSF) memfailkan aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung wartawan Palestin yang terbunuh dan cedera di Gaza.

RSF berkata, pihaknya meminta pendakwa raya ICC untuk menyiasat dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap sekurang-kurangnya sembilan wartawan Palestin sejak 15 Disember lalu.

Pada Januari, ICC mengumumkan sedang menyiasat potensi jenayah terhadap wartawan sejak tercetusnya perang antara Israel dan Hamas di Gaza, yang sudah mengorbankan lebih 100 pengamal media. 

RSF menegaskan mempunyai alasan munasabah untuk mendakwa beberapa wartawan tersebut dibunuh dengan sengaja dan yang lain adalah mangsa serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang disengajakan terhadap orang awam.

Aduan khusus tersebut merupakan yang ketiga dibuat oleh RSF membabitkan lapan wartawan Palestin yang terbunuh antara 20 Disember dan 20 Mei termasuk seorang lagi yang mengalami kecederaan.

“Semua wartawan berkenaan terbunuh atau cedera semasa menjalankan tugas mereka.

“Mereka yang membunuh wartawan menyerang hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang amat penting sepanjang konflik,” kata Pengarah Advokasi dan Bantuan RSF, Antoine Bernard.

Pendakwa Raya ICC, Karim Khan minggu lalu meminta mahkamah mengeluarkan waran tangkap bagi pemimpin tertinggi Israel dan Hamas, termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu atas dakwaan jenayah perang serta kemanusiaan.

Israel menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant berkata, membuat persamaan antara Hamas dan pemimpin Israel adalah keji.

Sementara itu, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) yang berpangkalan di New York berkata, sekurang-kurangnya 107 wartawan dan pekerja media terbunuh semasa perang di Gaza.

Tempoh tersebut disifatkan paling dahsyat bagi wartawan sejak CPJ mula mengumpul data pada 1992.

Aduan RSF termasuk kes dua wartawan Palestin terbunuh pada Januari ketika bekerja untuk Al Jazeera.

Hamza Wael Dahdouh dan Mustafa Thuria, yang juga bekerja sebagai penyambung video untuk AFP dan organisasi berita lain, terbunuh ketika dalam perjalanan untuk menjalankan tugas di Semenanjung Gaza.

Tentera Israel mendakwa pihaknya menyerang pejuang yang mengendalikan pesawat yang menimbulkan ancaman kepada tentera IDF ketika itu.

Katanya, pihaknya menyedari laporan bahawa semasa serangan itu, dua lagi suspek yang berada dalam kenderaan sama turut dibedil.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN