WASHINGTON: Ketua program makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan kebuluran besar-besaran di utara Gaza dan mengulangi gesaan untuk gencatan senjata dalam perang Israel terhadap Hamas.
“Benar terdapat kebuluran, kebuluran penuh di utara dan ia bergerak ke selatan.
“Apa yang kami minta dan harapakan secara berterusan ialah gencatan senjata dan keupayaan untuk mempunyai akses tanpa halangan masuk dengan selamat ke Gaza melalui pelbagai pelabuhan, lintasan dan pintu,” kata Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), Cindy McCain.
WFP adalah satu daripada banyak kumpulan kemanusiaan yang cuba mendapatkan bantuan ke Gaza.
McCain mengesahkan laporan diterbitkan di laman sesawang organisasi itu bahawa populasi di Semenanjung Gaza menghadapi kekurangan makanan yang akut selepas tujuh bulan diserang Israel.
Beliau berkata, kenyataannya datang daripada apa yang disaksikan sendiri wakil program itu di lapangan.
“Memang betul menggerunkan dan amat sukar untuk melihat atau mendengarkannya, diharap usaha gencatan senjata segera akan dicapai,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, ketersediaan makanan di Semenanjung Gaza sedikit bertambah baik walaupun risiko kebuluran berterusan di wilayah Palestin yang menempatkan 2.4 juta orang.
Israel berulang kali menuduh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bukan kerajaan tidak mengagihkan bantuan dengan cekap.
Namun agensi bantuan menegaskan aliran makanan penting ke dalam kawasan Palestin sering diganggu oleh sekatan dan pemeriksaan ketat yang dikenakan oleh Israel.
Dalam pada itu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran terhadap korban psikologi yang dihadapi kanak-kanak di Semenanjung Gaza akibat serangan berterusan Israel ke atas kawasan yang dikepung itu.
“Kanak-kanak di Gaza mengalami tahap tekanan yang teruk.
“Pasukan UNRWA sedang bekerjasama dengan kanak-kanak dan remaja untuk mengurangkan kesan kengerian perang.
“Kaunselor kami berusaha keras menawarkan harapan dan keselesaan kepada mereka,” jelas agensi itu dalam satu kenyataan di laman X.-AFP/AGENSI










