ANCHORAGE: Seorang jurugambar Alaska berusia 70 tahun terbunuh selepas diserang seekor moose betina ketika cuba merakam gambar dua ekor anak haiwan itu yang baru lahir.
Jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Alaska, Austin McDaniel berkata, lelaki yang terbunuh itu dikenal pasti sebagai Dale Chorman dari Homer.
“Chorman dan seorang rakannya sedang cuba mencari moose dan anaknya untuk dirakam Ahad lalu apabila moose betina itu keluar dari semak dan terus menyerang mereka.
“Mereka berdua berpaling untuk berlari tetapi ketika rakan itu menoleh ke belakang dia melihat Chorman sudah terbaring di atas tanah dengan moose berdiri di atasnya,” katanya.
Pakar perubatan mengesahkan Chorman meninggal dunia di tempat kejadian dan moose berkenaan turut hilang ke dalam semak.
Keluarga Chorman berkata, mangsa merupakan seorang jurugambar panorama semula jadi yang tahu risiko mengambil gambar di alam liar dan meninggal dunia ketika melakukan apa yang disukainya.
Walaupun terdapat beberapa desakan agar moose itu dibunuh, keluarga Chorman enggan berbuat demikian kerana beranggapan haiwan itu hanya cuba melindungi anaknya.
Moose adalah spesies rusa terbesar dengan lebih 200,000 ekor ditemui di Alaska.
Mamalia yang boleh mencecah 1.8 meter tinggi dan sekitar 363 kilogram itu kebiasaannya tidak agresif namun mampu bertindak ganas jika merasa terancam.-AP










