TOKYO: Empat mangsa penipuan di Jepun menyaman Facebook selepas ditipu oleh iklan pelaburan dalam talian yang menggunakan imej selebriti tanpa persetujuan mereka, kata peguam.
Menurut Agensi Polis Negara, penipuan dalam talian yang disiarkan di Facebook dan saluran media sosial lain di Jepun menyebabkan kerugian berjumlah AS$178 juta (RM851.19 juta) tahun lalu.
Peguam berkata, keempat-empat mereka memfailkan kes itu dengan Mahkamah Daerah Kobe menuntut Facebook Jepun yang dimiliki oleh kumpulan Meta Amerika Syarikat (AS) membayar ganti rugi sebanyak AS$148,000 (RM707,760).
Plaintif berkata, mereka menjadi mangsa iklan disiarkan di Facebook yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi dan menggunakan imej selebriti kaya seperti jutawan Jepun, Yusaku Maezawa.
Maezawa, pengasas peruncit pakaian dalam talian terbesar Jepun, menjadi terkenal di peringkat antarabangsa selepas membayar untuk pergi ke Bulan dalam misi masa depan yang dikendalikan oleh syarikat SpaceX milik Elon Musk.
Imej Maezawa biasanya digunakan tanpa kebenarannya oleh penipu dalam talian, dengan satu iklan menggunakan kapsyen ‘Bermula dengan 10,000 yen. Mendapat 1.3 juta yen dalam empat hari’.
Maezawa sebelum ini menggesa kerajaan Jepun untuk mengambil tindakan dan berkata, beliau sedang bekerjasama dengan peguam di AS untuk membawa samannya sendiri terhadap Meta.
Iklan dalam kes itu hanya menggunakan gambar tetapi negara lain turut melihat scam lebih terperinci menggunakan video palsu selebriti yang menggesa orang ramai untuk melabur dalam skim penipuan.-AFP










